Raja Perempuan Kelantan Kecewa Pemimpin Kelantan Negeri Tidak Lawat Sultan
Oh! Krai Utara
Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid melahirkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap pemimpin negeri ini yang tidak melawat Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra semasa menerima rawatan di Singapura.
Bagaimanapun Tengku Anis mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor serta barisan Kabinet yang selalu bertanya khabar mengenai kesihatan Baginda.
"Sampai bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pun datang berziarah, tetapi daripada pihak Kelantan tidak ada. Itu yang menyedihkan saya," titah Baginda dalam nada sebak di Majlis Solat Kesyukuran dan Sambutan Maulidul Rasul yang dihadiri lebih 5,000 hadirin yang memenuhi Dewan Kompleks Majlis Agama Islam Panji, dekat sini, hari ini.
Baginda bertitah, doktor yang merawat Tuanku Ismail melahirkan kekagumannya dengan kebesaran ayat al-Quran serta solat hajat yang diadakan sebelum itu kerana mampu menyedarkan kembali Tuanku Sultan.
"Kalau kita ikut perubatan, doktor tak akui Tuanku mampu sembuh. Tetapi berkat doa semua dan bacaan Yaa Siin dibacakan di hospital dan juga solat hajat, tiba-tiba Tuanku sedarkan diri. Jadi yang merawat Tuanku pun berasa kagum dengan ayat al-Quran yang dibaca. Betapa mustahak kita semua baca al-Quran," titah baginda. - BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan