Pemuda PAS Bantah Kartun Sweden Hina Nabi

Oh! Krai Utara

Share
Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 26 Mac - Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mengadakan demonstrasi aman di Kedutaan Sweden bagi membantah tindakan tiga akhbar di negara itu yang telah menghina Nabi Muhammad SAW.
Lebih 1,000 umat Islam berkumpul bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak selepas menunaikan solat Jumaatsebelum berarak ke kedutaan tersebut kira-kira 500 meter sahaja daripada tempat tersebut.
Demonstrasi diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al Tantawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Sabki Yusof dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.
Setibanya kumpulan itu ke kedutaan Sweden di Plaza OSK, Jalan Ampang kira-kira jam 2.15 petang, Nasrudin, Sabki dan Jais kelihatan naik ke pejabat kedutaan tersebut di tingkat 8 untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Memorandum dua halaman itu ditandatangani 19 NGO Islam, antara lain menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap tiga akhbar terbabit yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Nasrudin menegaskan penghinaan tersebut tidak boleh diterima kerana mencabul kesucian agama.
"Sebelum ini beberapa karikatur Rasulullah telah dikeluarkan oleh akhbar Denmark dan kini pula di akhbar Sweden. Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam bahkan 'non-Muslim', justeru itu ia satu pencabulan terhadap kesucian agama," tegas beliau.
Selain tindakan menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad Pemuda PAS juga mengecam tindakan Israel untuk membina kuil di atas tapak Masjid Al-Aqsa.
"Pemuda PAS juga memandang serius isu yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis pada ketika ini. Berikutan tindakan pembinaan Kuil Al-Kharab di sebelah Barat Masjid Al-Aqsa yang mencemari kota suci umat Islam.
"Pihak penjajah Zionis juga telah mengumumkan pembukaan kuil tersebut sebagai langkah permulaan untuk membina kuil Haikal Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa yang akan diruntuhkan kelak.
"Umat Islam seluruh dunia diseru agar mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa yang menjadi Kiblat pertama umat Islam dan bumi Israk Mikraj Rasulullah SAW," kata Nasrudin lagi. 
Kumpulan tersebut berarak sambil membawa kain rentang dan poster bertulis “Kami Kasih Nabi", “Jangan Hina Nabi Muhammad” dan "Kami Berjuang Untuk Nabi Kami" sambil  bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan slogan anti-Sweden seperti “Biadap Sweden” dan “Jahanam Sweden”.
Kumpulan penunjuk perasaan itu juga membakar bendera Sweden kira-kira jam 3.00 petang.
Sebelum ini dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing - karya pelukis Sweden Lars Vilks dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden. Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.
Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.
Kira-kira 40 anggota polis , termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal sekitar kawasan tersebut. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dilaporkan.suara-keadilan.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...