Kes Benjy Babitkan Dadah Jenis Sintetik - Menteri Hishammuddin

Oh! Krai Utara

Share
 Kes membabitkan pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, yang ditahan semula untuk siasatan lanjut, membabitkan dadah jenis sintetik, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata kerajaan memberi tumpuan yang serius dalam menangani dadah jenis itu kerana pengambilannya, walaupun sekali, boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dadah.
Katanya begitu juga kes yang membabitkan seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan.
"Saya dah maklumkan awal dulu, kita dalam konteks dadah sintetik ini, perlu menanganinya dengan kesungguhan luar biasa.
"Ini kerana pengambilan dadah jenis itu walaupun sekali sahaja, boleh menyebabkan menjadi penagih dadah. Kedua, tiada jalan untuk pemulihan dan ketiganya, ia mudah dibawa ke mana-mana," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ibu artis itu, dramatis dan pelakon terkenal, Azean Irdawaty bahawa pihak polis tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung penahanan semula anaknya itu.
Benjy ditahan semula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952) selepas dua jam dibebaskan.
Dia sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu.
Sebaik menjelaskan wang ikat jamin, Benjy ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.
Hishammuddin berkata beliau belum menerima laporan berhubung kes itu.
"Saya dah minta laporan kes itu dan belum menerimanya, tetapi bila dah dapat laporan itu, kita akan maklumkan apa sebenarnya yang berlaku. Saya pun nak tahu," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung pemberian imbuhan kepada anggota polis merupakan langkah permulaan untuk membela kebajikan para anggotanya.
Beliau berkata selepas ini, prasarana perumahan, balai, peralatan, koperasi, persatuan-persatuan bekas polis dan sebagainya akan turut dilihat dan diambilkira dan ia merupakan proses yang berterusan.
"Pertama, saya terharu dan berterima kasih kerana Perdana Menteri yang mengumumkan imbuhan kepada polis yang kini menyentuh dari IGP (Ketua Polis Negara) hingga anggota paling rendah.
"Dengan keseriusan kerajaan mengiktiraf sumbangan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), saya harap ia akan dibalas oleh para anggotanya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berdisiplin, khususnya dalam menjayakan agenda nasional.
"Setakat ini, saya agak puas hati tetapi banyak yang perlu dilakukan," katanya.
Semalam, Najib mengumumkan antara lain, pemberian elaun bulanan RM200 kepada kira-kira 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat PDRM yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...