Pejabat Sultan Pertikai Kesahihan Kenyataan Wan Hashim

Oh! Krai Utara

Share
Pejabat Sultan Kelantan hari ini mempertikai kesahihan kenyataan yang dikeluarkan semalam berhubung titah Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mengenai sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-60 pada 30 dan 31 Mac nanti.
Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim berkata kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak Istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Baginda dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).
"Sepanjang pengetahuan pejabat Sultan jawatan Setiausaha Sulit kepada Sultan itu masih kosong," katanya kepada pemberita pada sidang media di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan, Datuk Ismail Mohd Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan) Shafie Ismail.
Dalam kenyataan pengisytiharan yang dibaca oleh Wan Hashim semalam, beliau berkata, baginda menitahkan bahawa semua acara sempena Perayaan Hari Keputeraan baginda ke-60 pada tahun ini tidak diadakan kecuali majlis solat hajat dan doa selamat sahaja yang melibatkan seluruh rakyat jelata setiap masjid di negeri ini.
Kenyataan itu juga menyebut, Sultan Kelantan sama sekali tidak memperkenankan pengurniaan gelaran Kebesaran serta pingat-pingat kemuliaan di bawah perkara 43, Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.
Abdul Halim berkata kenyataan yang dikeluarkan Wan Hashim di dalam media adalah mengelirukan dan tidak benar kerana Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.
"Untuk makluman, segala urusan Diraja diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan yang sentiasa patuh dan taat setia kepada Sultan dan Pemangku Raja. Pejabat ini juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan pihak kerajaan," katanya.
Ditanya mengenai sambutan hari keputeraan baginda, Abdul Halim berkata majlis sambutan akan dipenuhi dengan acara keagamaan seperti solat hajat dan doa selamat, manakala acara pengurniaan darjat dan pingat bergantung kepada keputusan Pemangku Raja.
Susulan kenyataan Wan Hashim itu, dua laporan polis telah dibuat Pejabat Istana Kelantan terhadap Wan Hashim kerana penyamaran dan penggunaan kepala surat Pejabat Sultan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Laporan itu dibuat oleh Abdul Halim dan seorang pegawai Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail di Ibu Pejabata Polis Daerah Kota Baharu hari ini.
Satu lagi laporan dibuat oleh pegawai Pejabat Sultan Kelantan, Tuan Saharizam Tuan Hamzah, terhadap seorang penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella berhubung sesi ramah mesra antara Abdul Halim dengan wakil media di Hotel Sutera Inn yang didakwa telah disalahertikan di laman blog itu dan menganggap laporan laman blog itu cuba mengelirukan rakyat dan mempunyai unsur-unsur fitnah dan tidak berasas. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...