Ingatkan Negeri Pakatan Rakyat Je Ada Orang Papa Kedana
Oh! Krai Utara
16 sekeluarga hidup daif
SUNGAI RUAN – Cuaca panas berdebu mendatangkan rasa sesak ketika melewati lorong kecil bersebelahan deretan rumah tidak teratur demi menjejaki satu keluarga yang dikhabarkan hidup dalam keperitan dan sentiasa kegelapan.
Setibanya di hadapan rumah didiami V Gunavathy bersama 15 ahli keluarga lain, penulis terharu melihat persekitaran yang amat daif seperti tidak berada di negara tercinta yang kaya dan sejahtera ini.
Tanpa berfikir panjang, penulis mengiakan perkhabaran sedih disampaikan seorang penduduk prihatin tentang ibu muda yang baru berusia 37 tahun ini.
Kesempitan hidup
Melihat beberapa dokumen dimiliki Gunasavathy, penulis yakin mereka sekeluarga sah sebagai warganegara biarpun sering berpindah di beberapa lokasi dalam negeri termasuk Gambang, Temerloh dan terakhir kembali semula ke Sungai Ruan.
Rumah yang disewa RM50 sebulan dengan pemilik Cina itu menampakkan sebahagian besar lantainya hanya beralaskan pasir dan tanah, memiliki dua bilik tidur uzur dan ruang tamu sempit membayangkan ketidakselesaan mendiaminya bersama keluarga besar.
Sorotan mata ke bahagian dapur rumah juga amat memilukan dengan gambaran peralatan serba kekurangan termasuk bilik air tanpa tandas.
Penulis difahamkan mereka sekeluarga terpaksa menggunakan tandas di rumah ibu Gunasavathy mengambil masa kira-kira lima minit berjalan kaki.
Malang bertimpa
Gunasavathy mempunyai enam anak dengan suami pertama berusia antara tujuh tahun hingga 20 tahun.
Gunasavathy berkahwin dengan suami kedua, V Thiagarajan, 26, kira-kira lima tahun lalu dan mendapat dua cahaya mata.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, Thiagarajan kemalangan kira-kira tiga bulan lalu dan mengalami lumpuh kaki serta hilang separuh tempurung kepala sekali gus tidak membenarkannya meneruskan pekerjaan sebelum ini sebagai tukang rumah.
Gunasavathy yang tidak bekerja merasakan hidup semakin membebankan kerana terpaksa memberikan sepenuh tumpuan terhadap suaminya termasuk lima lagi anak saudara yang tinggal bersamanya.
Tidak bersekolah
Menyingkap perjalanan hidup kesemua lapan anak Gunasavathy, tidak seorangpun mampu meneruskan pelajaran akibat kesempitan hidup.
Anak sulungnya, R Suguna, 20, bersama dua adik kembarnya, R Saravanan dan R Murugan, 19, hanya sempat belajar dalam Tahun Dua sahaja kemudian terpaksa berhenti.
Anak keempat, R Sugneswaran, 17, tidak pernah bersekolah walaupun mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Anak gadisnya pula, R Puneswari, 15, buta huruf lantaran tidak pernah bersekolah akibat kesusahan dialami keluarga, ditambah pula dia tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Anak keenamnya, R Milawathy, 7, juga tidak bersekolah dan tidak memiliki sijil kelahiran sama seperti anak ketujuhnya, T Thirtika, 4.
Walaubagaimanapun, anak bongsu, T Yogeshwaran, 3, mempunyai surat beranak tetapi tiada jaminan dapat bersekolah memandangkan keengganan Gunasavathy berbuat demikian kerana bimbang tidak mampu menguruskan kos persekolahan.
Ibu tunggal
Suguna sebagai anak sulung dalam keluarga terpaksa memikul tanggungjawab bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu antara RM250 hingga RM300 sebulan.
Lebih malang hidupnya apabila ditinggalkan suami sejak enam bulan lalu dan dia menjadi ibu tunggal terpaksa menyara anak kecil berusia tujuh bulan, ibu, ayah tiri dan tujuh adiknya.
Suguna bersama seorang adik kembarnya, Murugan bekerja di estet bagi menampung kos sara hidup seluruh keluarganya .
Ditambah pula dengan pembayaran bil air mencecah RM500 walaupun hanya dua bulan baru menyewa premis daif itu.
Sejak setahun tinggal di sana, nasib menyebelahi mereka sekeluarga apabila tidak perlu membayar bil elektrik kerana caj bulanan tidak pernah melebihi RM20.
Harap bantuan
N Krishnamoorthy, 52, daripada Benta, Lipis menyampaikan hasrat agar keluarga ini mendapat bantuan setelah menyedari mereka mengharungi keperitan hidup tanpa sebarang panduan daripada sesiapapun.
Menurutnya, dia menyedari keluarga ini dalam kesempitan apabila Murugan tidak mempunyai kad pengenalan setelah dia mengajak untuk sama berusaha dalam bidang perniagaan menerusi bimbingan Mara.
“Saya amat mengharapkan sesiapa sahaja termasuk pemimpin masyarakat setempat agar membawa perkara ini ke saluran yang berkaitan ,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, keadaan keluarga itu menjadi lebih tidak terurus apabila masing-masing menghadapi masalah komunikasi untuk menguruskan dokumen pengenalan diri membuktikan mereka warganegara.
“Kunjungan kita pada hari ini memberi harapan kepada mereka ditambah pula dengan kedatangan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Bahagian Pembangunan Komuniti, Hishamuddin Abd Rahman.
“Kita amat berharap agar keluarga ini dapat ditempatkan di rumah bantuan yang lebih selesa dan anak-anak kecil menerima bantuan makanan serta pakaian agar tidak terbiar seperti hari ini,” kata Krishnamoorthy.
Penulis akan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah hari ini setelah menyalurkan maklumat dan dokumen berkaitan kepada Hishamuddin
0 ulasan:
Catat Ulasan