NOBISHA: FUN-FAIR DI BAGAN PINANG

Oh! Krai Utara

Share NOBISHA

Beberapa tahun lalu, saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sebuah sekolah menengah berasrama. Suatu malam, warden asrama menelefon saya bagi memaklumkan bahawa ada seorang pelajar yang ditempeleng oleh seorang pelajar lain. Itu satu hal. Apa yang menyebabkan warden tersebut menelefon saya ialah bapa kepada pelajar yang kena tempeleng itu menceroboh masuk asrama untuk menempeleng pelajar yang menempeleng anaknya (berapa banyak "tempeleng" ... keliru kan? memang pun!)

Kecoh satu sekolah. Maka, sekolah pun mengadakan satu siasatan. Akhirnya, didapati pelajar yang kena tempeleng itulah yang memulakan insiden itu. Dia mengejek dan memberikan gelaran buruk kepada kawannya itu. Kawannya itu membalas ejekan dan memberikan gelaran yang lebih buruk. Oleh kerana tak tahan dengan ejekan itu, pelajar yang kena tempeleng itu pun meludah muka kawannya. Apa lagi, ketika itu tangan kawannya melayang ke mukanya!

Itu cerita budak sekolah.

Semalam, sewaktu penamaan calon pilihanraya kecil Bagan Pinang, hal sedemikian berlaku. Walau apapun yang diceritakan, kesemua ini tidak akan berlaku sekiranya tak ada provokasi. Kalau tak ada ejek-mengejek atau menjerit kepada satu sama lain, insiden yang memalukan ini tidak akan terjadi.

Usah ada yang berkata, tak ada ejekan. Usah ada yang berkata tak ada provokasi. Saya di Bagan Pinang semalam dan saya melihat sendiri semua insiden ini. Bukan di situ saja, malah sebelum ini juga begitu. Setiap kali perarakan penamaan calon, ejek-mengejek dan provokasi berlaku. Bukan sekali, dah banyak kali.

Tak perlu salahkan sesiapa. Salahkanlah diri sendiri. Sekiranya inilah adab dan cara kita berpolitik, maka selamanyalah kita akan mengamalkan politik dunia ketiga dan primitif.

Saya pernah sebutkan sebelum ini, tak perlu perarakan. Mansuhkan saja penamaan calon seperti amalan sekarang. Penamaan calon sekarang seperti fun-fair. Sewaktu belum ada tv dan tak banyak aktiviti rekreasi, fun-fair cukup popular di kampung-kampung. Sekarang orang sudah tak pergi fun-fair lagi. Nak berhibur, orang pergi ke taman tema (theme park).

Tujuan penamaan calon hanya untuk sahkan kelayakan bertanding. Tak perlu berarak. Tak perlu menjerit. Tak perlu bawa poster besar-besar. Cukup dengan membawa seorang pencadang, seorang penyokong, salinan kad pengenalan dan wang pertaruhan ke Pejabat Daerah. Isi borang dan kalau layak, maka bertandinglah. Tak perlu ramai-ramai. Cukuplah proses itu diuruskan hanya oleh dua tiga orang sahaja.

Berikan masa selama seminggu supaya setiap orang mempunyai masa yang cukup untuk mengemukakan borang pencalonan. Buat apa nak hadkan tempoh penyerahan borang kepada satu jam diikuti dengan tempoh bantahan selama satu jam selepas itu. Peruntukkan masa secukupnya. Kita bukan nak berlumba lari, kita ingin memilih wakil rakyat untuk ke legislatif.

Kalau dapat dibuat begitu, SPR dan lain-lain agensi kerajaan tak perlu habiskan banyak wang untuk proses penamaan calon. Malah, proses yang saya cadangkan berkali-kali ini tak memerlukan sebarang perbelanjaan pun.

Lebih dari itu, ia menghapuskan budaya tak sihat yang berlaku pada setiap kali penamaan calon. Cukuplah, rakyat dah muak dengan fun-fair yang diadakan setiap kali pilihanraya!

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...