Inkues kematian Teoh Beng Hock: Saat-saat awal mayat Teoh ditemui
Oh! Krai Utara
Suasana di sekitar perkarangan mahkamah sesak dipenuhi wartawan dan jurugambar yang hadir seawal 7.30 pagi.
Seramai 97 saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan dalam inkues tersebut.
Enam saksi pertama dipanggil beri keterangan bagi prosiding kedua inkues pagi ini - tiga ahli kimia, tiga ahli patologi dan diikuti seorang pengawal keselamatan, Siti Zabedah Yahya.
Siti Zabedah, 41, memberitahu mahkamah bahawa dia berada di tingkat 19 Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.
Kerana berpuasa pada hari berkenaan, katanya, dia berihat di bilik stor pada kira-kira jam 1.10 tengahari, dan membiarkan tingkap terbuka.
Menurutnya, ketika dia bangun kira-kira 20 minit kemudiannya dan berada rapat dengan tingkap, dia ternampak seorang lelaki terbaring di koridor tingkat lima.
Siti Zabedah berkata, dia kemudiannya memanggil seorang juruteknik, Mohd Ridwan Samsuri, supaya menyiasatnya.
Mohd Ridzuan pula memberitahu, dia sedang berada di Restoran Pelita di tingkat dua bangunan tersebut apabila menerima panggilan dari Siti Zabedah.
Sewaktu disoal siasat oleh peguam Gobind Singh Deo, Mohd Ridzuan berkata tingkat lima merupakan kawasan larangan kepada orang awam dan tidak terdapat CCTV di situ.
Menurutnya, untuk ke tingkat lima, seseorang itu perlu melalui sebuah pejabat dengan kebenaran atau bantuan pegawai keselamatan dan pekerja penyelenggaraan yang menyimpan kunci untuk dua pintu besi di situ.
Katanya, dia kemudiannya pergi ke tingkat lima bersama seorang rakannya, Rosli Sallh dan ternampak mayat dan bekas darah kering di bahagian lutut.
Mohd Ridzuan berkata beliau kemudiannya terus memaklumkan perkara itu kepada pegawai atasannya melalui walkie-talkie.
Mahkamah berihat pada kira-kira jam 10.30 pagi.
Apabila prosiding disambung, mahkamah memanggil saksi ketiga - seorang lagi pengawal keselamatan di Plaza Masalam, Mohd Khairul Izwan M Nasir. Mohd Khairul Izwan memberitahu mahkamah, seperti yang diarahkan oleh pegawai atasannya, dia menutup mayat tersebut dengan plastik hitam dan meletakkan bata di tepinya supaya tidak terbuka.
Dia juga menafikan telah menyentuh mayat tersebut.
Saksi seterusnya ialah Koperal Abdul Karem Othman dari ibupejabat polis Shah Alam, yang menerima panggilan telefon daripada Mohd Khairul Izwan.-malaysiakini
0 ulasan:
Catat Ulasan