gempa bumi di Sumatera Barat : 400 tetamu kenduri ditimbus tanah runtuh

Oh! Krai Utara

Share
JAKARTA – Kira-kira 400 orang yang sedang menghadiri majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman semasa ketika gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter melanda Sumatera Barat, petang Rabu lalu.

Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung tersebut yang ranap ditimbus tanah termasuk menara masjid yang menjadi bangunan tertinggi di situ turut tidak kelihatan.

“Mereka tertimbus sedalam 30 meter akibat gempa dan tanah runtuh,” kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S Pakaya dipetik Detikcom, semalam.

Menurutnya, pasukan penyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa walaupun mereka ketika ini sedang bekerja keras melakukannya.

Tragedi di kampung itu merupakan antara beberapa kejadian sama yang berlaku di sekitar Padang Pariaman di mana mangsa tertimbus dan terhimpit di celah runtuhan bangunan.

Di Kota Padang, rangkaian televisyen tempatan yang dapat beroperasi semula menyiarkan rakaman mengenai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain.

Bau mayat yang mula membusuk kini dapat dihidu di sekitar Padang dan kawasan bencana lain.

Sekitar 100 mangsa dipercayai tertimbus di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding hotel Ambacang, manakala 50 murid masih terperangkap di bawah timbunan tanah runtuh yang

menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman.

Kira-kira 200 orang lagi masih hilang dipercayai tertimbus akibat runtuhan dua bukit di Petamuan, Padang Pariaman.

Sementara itu, pasukan penyelamat kini menggiatkan usaha menjejaki 4,000 orang yang dipercayai masih terperangkap di kawasan bencana tersebut.

Tahap kerosakan akibat gempa kini tertumpu kepada beratus-ratus kampung yang terletak di kawasan bukit di luar Padang yang dihuni lebih sejuta penduduk.

Wartawan asing yang meninjau sekitar kawasan pesisir di kepulauan Sumatera mendapati sejumlah rumah yang dibina di cerun bukit termasuk empat kampung lenyap ditimpa tanah runtuh,

“Kami menganggarkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang masih terperangkap atau tertimbus di bawah runtuhan,” kata Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Indonesia, El-Mostafa Benlamlih.- sinar harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...