PRK Permatang Pasir, simbolik menarik untuk Pakatan Rakyat
Oh! Krai Utara
KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Calon PAS yang akan bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir akan diumumkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Permatang Pasir esok.
Di Bengkel Memperkasakan Pakatan Rakyat di Tropicana Golf Resort semalam, Abdul Hadi menyifatkan pilihanraya kecil itu merupakan satu simbol yang sangat menarik untuk Pakatan Rakyat. "Satu simbol yang sangat menarik untuk Pakatan Rakyat sebab, pertama yang bertanding ialah PAS, DUN tersebut pula dibawah Parlimen Permatang Pauh dan negeri ini pula dibawah jajahan DAP. Sebab itu saya kata pilihanraya ini sangat menarik," jelas beliau. Ketika ditanya mengenai ciri-ciri calon yang menjadi pilihan PAS, beliau sekadar menjawab, "Nama calon sudah dalam poket saya. Malam esok saya akan umumkan siapa calonnya". Sementara itu, dalam majlis yang sama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan PKR akan memberikan sokongan penuh kepada wakil PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil kali ini. "Pada peringkat ini kita ingin jelaskan bahawa jentera Parti Keadilan Rakyat dan kebetulan Permatang Pasir dibawah Permatang Pauh. Kita akan berikan sokongan padu dan saksama, " ujar Datuk Seri Anwar turut menyatakan kehilangan besar Allahyarham Datuk Hamdan yang merupakan seorang wakil rakyat yang baik. Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, wakil PAS Datuk Hamdan Abdul Rahman yang mendapat serangan jantung 31 Julai lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan