Pemuda PAS Bantah Kartun Sweden Hina Nabi

Oh! Krai Utara

Share

Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 26 Mac - Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mengadakan demonstrasi aman di Kedutaan Sweden bagi membantah tindakan tiga akhbar di negara itu yang telah menghina Nabi Muhammad SAW.
Lebih 1,000 umat Islam berkumpul bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak selepas menunaikan solat Jumaatsebelum berarak ke kedutaan tersebut kira-kira 500 meter sahaja daripada tempat tersebut.
Demonstrasi diketuai Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al Tantawi, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Sabki Yusof dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.
Setibanya kumpulan itu ke kedutaan Sweden di Plaza OSK, Jalan Ampang kira-kira jam 2.15 petang, Nasrudin, Sabki dan Jais kelihatan naik ke pejabat kedutaan tersebut di tingkat 8 untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Memorandum dua halaman itu ditandatangani 19 NGO Islam, antara lain menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap tiga akhbar terbabit yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Nasrudin menegaskan penghinaan tersebut tidak boleh diterima kerana mencabul kesucian agama.
"Sebelum ini beberapa karikatur Rasulullah telah dikeluarkan oleh akhbar Denmark dan kini pula di akhbar Sweden. Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam bahkan 'non-Muslim', justeru itu ia satu pencabulan terhadap kesucian agama," tegas beliau.
Selain tindakan menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad Pemuda PAS juga mengecam tindakan Israel untuk membina kuil di atas tapak Masjid Al-Aqsa.
"Pemuda PAS juga memandang serius isu yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis pada ketika ini. Berikutan tindakan pembinaan Kuil Al-Kharab di sebelah Barat Masjid Al-Aqsa yang mencemari kota suci umat Islam.
"Pihak penjajah Zionis juga telah mengumumkan pembukaan kuil tersebut sebagai langkah permulaan untuk membina kuil Haikal Sulaiman di atas tapak Masjid Al-Aqsa yang akan diruntuhkan kelak.
"Umat Islam seluruh dunia diseru agar mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa yang menjadi Kiblat pertama umat Islam dan bumi Israk Mikraj Rasulullah SAW," kata Nasrudin lagi. 
Kumpulan tersebut berarak sambil membawa kain rentang dan poster bertulis “Kami Kasih Nabi", “Jangan Hina Nabi Muhammad” dan "Kami Berjuang Untuk Nabi Kami" sambil  bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan slogan anti-Sweden seperti “Biadap Sweden” dan “Jahanam Sweden”.
Kumpulan penunjuk perasaan itu juga membakar bendera Sweden kira-kira jam 3.00 petang.
Sebelum ini dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing - karya pelukis Sweden Lars Vilks dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden. Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.
Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.
Kira-kira 40 anggota polis , termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal sekitar kawasan tersebut. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dilaporkan.suara-keadilan.com

Read More - Pemuda PAS Bantah Kartun Sweden Hina Nabi

Kes Benjy Babitkan Dadah Jenis Sintetik - Menteri Hishammuddin

Oh! Krai Utara

Share

 Kes membabitkan pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, yang ditahan semula untuk siasatan lanjut, membabitkan dadah jenis sintetik, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata kerajaan memberi tumpuan yang serius dalam menangani dadah jenis itu kerana pengambilannya, walaupun sekali, boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dadah.
Katanya begitu juga kes yang membabitkan seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan.
"Saya dah maklumkan awal dulu, kita dalam konteks dadah sintetik ini, perlu menanganinya dengan kesungguhan luar biasa.
"Ini kerana pengambilan dadah jenis itu walaupun sekali sahaja, boleh menyebabkan menjadi penagih dadah. Kedua, tiada jalan untuk pemulihan dan ketiganya, ia mudah dibawa ke mana-mana," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ibu artis itu, dramatis dan pelakon terkenal, Azean Irdawaty bahawa pihak polis tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung penahanan semula anaknya itu.
Benjy ditahan semula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952) selepas dua jam dibebaskan.
Dia sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu.
Sebaik menjelaskan wang ikat jamin, Benjy ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.
Hishammuddin berkata beliau belum menerima laporan berhubung kes itu.
"Saya dah minta laporan kes itu dan belum menerimanya, tetapi bila dah dapat laporan itu, kita akan maklumkan apa sebenarnya yang berlaku. Saya pun nak tahu," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung pemberian imbuhan kepada anggota polis merupakan langkah permulaan untuk membela kebajikan para anggotanya.
Beliau berkata selepas ini, prasarana perumahan, balai, peralatan, koperasi, persatuan-persatuan bekas polis dan sebagainya akan turut dilihat dan diambilkira dan ia merupakan proses yang berterusan.
"Pertama, saya terharu dan berterima kasih kerana Perdana Menteri yang mengumumkan imbuhan kepada polis yang kini menyentuh dari IGP (Ketua Polis Negara) hingga anggota paling rendah.
"Dengan keseriusan kerajaan mengiktiraf sumbangan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), saya harap ia akan dibalas oleh para anggotanya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berdisiplin, khususnya dalam menjayakan agenda nasional.
"Setakat ini, saya agak puas hati tetapi banyak yang perlu dilakukan," katanya.
Semalam, Najib mengumumkan antara lain, pemberian elaun bulanan RM200 kepada kira-kira 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat PDRM yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara. - BERNAMA
Read More - Kes Benjy Babitkan Dadah Jenis Sintetik - Menteri Hishammuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota buat laporan Polis terhadap Utusan

Oh! Krai Utara

Share

KUANTAN, 26 Mac — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini membuat laporan polis berhubung laporan sebuah akhbar yang disifatkannya telah menfitnah beliau telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Azan dalam laporannya berkata, akhbar Utusan Malaysia dengan sengaja mencetak laporan bertajuk: “Bahtera Siapa Semakin Bocor?” dengan tujuan memburukkan namanya dan parti tersebut yang disiarkan pada 6 Mac lepas.
Katanya, akhbar itu juga sengaja mencetak ruangan ralat dan menyatakan beliau tidak keluar dari PKR tetapi meletakkan semua jawatan dalam parti itu termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.
“Kedua-dua laporan itu tidak benar dan hanya bertujuan menunjukkan bahawa saya ahli parlimen yang tidak bermoral, tidak berpegang kukuh kepada kepimpinan Ketua PKR dan tidak mempedulikan penduduk Indera Mahkota.
“Tulisan itu memberi implikasi sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan air muka dan maruah saya,”  katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di  sini, hari ini.
Beliau berkata, kesan daripada tulisan itu menyebabkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen terjejas dan dipandang rendah masyarakat. — Bernama
Read More - Ahli Parlimen Indera Mahkota buat laporan Polis terhadap Utusan

Zul Kulim " Karpal Singh kau dah lembik ke atau dah jadi zombie"

Oh! Krai Utara

Share


4 Orang Ini Ingin Mencabar...Karpal Singh Nak Cakap Apa.?
Dalam sidang akhbar bersama di lobi Parlimen mereka membalas cabaran Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor ,Karpal Singh supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing ketika berucap dalam sidang Dewan Rakyat, supaya memenuhi beberapa tuntutan mereka terlebih dahulu.
“Sebelum kami jawab cabarannya untuk kami mengosongkan kerusi, kami nak cabar dia jawab dulu kenyataan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dalam laman webnya bertarikh 8 Mac lalu yang menuntut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meminta maaf di atas kenyataanya yang dibuat pada 8 Februari tahun lalu,” kata Zulkifli seaku jurucakap mereka.
Menurut Zulkifli, pada 8 Februari 2009, Karpal telah mempertikaikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) dan meminta Anwar meletak jawatan kerana menimbulkan masalah dalam pakatan pembangkang itu kerana menganjurkan Ahli Parlimen Barisan Nasional lompat parti.(bagi menjayakan Pelan 16 September)
Zulkifli berkata, pada tarikh itu Karpal telah mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu perlu bertaubat kerana mengkhianati rakyat. Karpal juga menyatakan PR memerlukan pemimpin baru. Zulkifli berkata, mereka berempat juga mahu tahu pendirian Karpal berkaitan dengan Islam.
“Apakah dia masih berpendirian kalau mahu melaksanakan Islam, langkah mayat dia dulu seperti yang pernah dikatakannya dulu? Apa dah jadi dengan pendirian dia? Adakah body dia dah lembik atau dia dah jadi mayat hidup yang tidak mampu mempertahankan pendiriannya?
“Kami juga mencabar Karpal, menyatakan pendiriannya terhadap desakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya rukun pertama dalam rukun negara ditukar daripada kepercayaan kepada tuhan, kepada kepercayaan kepada Allah.”
Zulkifli berkata, mereka berempat juga mahu tahu pendirian Karpal mengenai kenyataan PAS yang menyatakan bahawa pemimpin DAP sudah insaf dan boleh teirma Islam.
“Adakah Karpal sudah boleh terima Islam? Kami juga nak tanya mengapa dia berdiam diri semasa Ahli Parlimen Bota, Datuk Nasaruddin melompat ke PKR? Kenapa dia tidak mengambil sebarang pendirian semasa itu tetapi hari ini buat pendirian nak cabar kami pula?”
Akhir sekali Zulkifli berkata, mereka mahu penjelasan Karpal mengapa dia tidak mendesak Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang supaya mengambilaih jawatan Ketua Pembangkang jika dia benar-benar mempertahankan nilai-nilai demokrasi yang sering disebutkan.
“Sebelum kami jawab cabaran Karpal untuk kami kosongkan kerusi, dia jawab dulu apa yang kami sebut hari ini dan kita tengok dari situ,” kata Zulkifli.
Sumber: Agenda Daily
Read More - Zul Kulim " Karpal Singh kau dah lembik ke atau dah jadi zombie"

Pemergian Dr. Zainal satu kehilangan besar-Presiden

Oh! Krai Utara

Share

Oleh Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 26 Mac: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan penduduk di kawasan Parlimen Hulu Selangor di atas pemergian Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ke rahmatullah malam tadi.
Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini berkata, pemergian Zainal itu bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga Allahyarham dan penduduk Hulu Selangor, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepda seluruh pejuang keadilan ke arah perubahan lanskap politik yang lebih baik di Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham menerima ketentuan ini dengan sabar.
“Semoga seluruh anggota keluarga beliau bersabar dengan ketentuan dan ujian dari Allah SWT ini.
“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmatNya ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Alah SWT,” katanya.
Allahyaraham meninggal dunia jam 9.30 malam tadi di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.
Zainal menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.-Harakahdaily
Read More - Pemergian Dr. Zainal satu kehilangan besar-Presiden

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...