Oh! Politik:.Isu judi Piala Dunia - Pemuda UMNO dicabar nyatakan pendirian
Oh! Krai Utara
KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas Kelantan semalam mencabar pergerakan Pemuda UMNO Negeri menyatakan pendirian berhubung dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan lesen judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.
Ketuanya, Datuk Abdul Latif Abd Rahman berkata, kenyataan yang dibuat oleh Awang Adek itu sebenarnya menjurus kepada menghalalkan sesuatu yang diharamkan yang merupakan salah satu perkara yang boleh membatalkan akidah.
“Sehubungan dengan itu, Pemuda Pas mencabar Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyatakan sikap terhadap kenyataan pimpinannya sendiri.
“Ini kerana sehingga sekarang tidak kede-ngaran sebarang kenyataan daripada Pemuda UMNO Kelantan berhubungan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada :Sinar Harian:, semalam.
Abd Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang berkata, cabaran itu dibuatnya berikutan desakan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa supaya menjelaskan sumber kewangan yang diperoleh bagi membiayai pengurusan dan aktiviti syarikat Global Media Channel (GMC).
“Dalam soal ini, Pemuda UMNO juga membisu dalam isu royalti minyak yang menzalimi rakyat Kelantan. Adakah Pemuda UMNO berpuas hati dengan bayaran RM20 juta wang royalti berbanding RM2 bilion yang sepatutnya diterima oleh rakyat Kelantan?
“Selain itu di manakah pula Pemuda UMNO Kelantan pada saat Malaysia dilaporkan hilang hak ke atas sebahagian perairan negara di Sarawak yang mengakibatkan kerugian lebih 300 bilion?” katanya.
Menurutnya, dasar perjuangan Pas tidak bergerak di atas dasar wang dan komisen malah tetap menjalankan gerak kerja tanpa habuan berbentuk wang ringgit.
Katanya, dalam mana-mana pilihan raya kecil sekalipun, UMNO sering kali mengumpan dengan janji pembangunan dan menghulurkan wang ringgit kepada rakyat.
“Berbeza dengan Pas yang mempunyai senarai ribuan penderma dari seluruh dunia, sumber kewangan Pas ialah dari poket ahli-ahlinya. aset Pas yang ada pada hari ini hasil dari pengorbanan ahli dan penyokong Pas yang bertebaran di seluruh dunia,” katanya.-SH
0 ulasan:
Catat Ulasan