Oh! Politik:.Sekularisme Tidak sekadar pemisahan Agama dan Negara
Oh! Krai Utara
Bumiputera Berjaya
Sejak kebelakangan ini, masyarakat sering digemparkan dengan pelbagai isu dan gimik dalam agama Islam. Kemunculan isu-isu ini, telah menguji tahap pengetahuan dan sensitivity masyarakat mengenai hal tersebut. Namun begitu, isu sekularisme sudah pun bertapak dan berkembang di seluruh dunia.
Sekularisme sebenarnya lebih dari c. Itu hanyalah jelmaan sosio politiknya. Lebih dari itu sekularisme adalah suatu pandangan sarwa, yakni suatu world view atau weltanschauung.
Sekularisme dalam Kamus Oxford mendefinasikan sebagai “wordly or material. Not religious or spiritual” maksudnya keduniaan atau kebendaan, bukan agama atau roh. Para ulama’ telah bersepakat menyatakan bahawa sekularisme mengenepikan agama dari urusan kenegaraan, kemasyarakatan dan ekonomi. Ia meletakkan agama dalam ruang lingkup yang amat sempit dan memberi kebebasan kepada individu menganut agama yang disukainya.
Fahaman sekularisme ini menjadi Ibu kepada puluhan isme lain. Walaupun pada asalnya ia sekadar pengasingan agama daripada dunia tetapi terus berkembang dan berpegang dengan prinsip “here and now”. Secara tidak langsung fahaman ini menghasilkan penolakan terhadap hari akhirat dan manusia bebas melakukan apa sahaja.
Menurut Prof. Dr. Sayyid Muhammad Naquib Al-Attas, beliau menganggap bahawa sekularisme adalah faham kekinidisian, iaitu penumpuan pada zaman sekarang dan ruang kehidupan duniawi. Bagi manusia sekularis tidak ada ‘nanti’ (hari akhirat) dan tidak ada ‘ sana’ (kehidupan ukhrawi) atau sekurang-kurangnya tidak mempedulikannya. Menurut mereka yang wujud hanya alam fizikal ini dan dengan demikian mereka menolak realiti-realiti metafizik. World-view seperti itu jelas sempit dan terbatas, sekadar nazrah atau pandangan inderawi terhadap al-kawn atau alam fizikal. Namun demikian, ini bertentangan dengan world-view Islami yang meliputi segala kewujudan alam syahadah dan alam ghaib, alam tabi’i dan alam metafizik yang dapat dilihat dengan mata inderawi dan tampak pada pandangan a’kli-nurani. Oleh yang demikian, kerana itulah Prof Al-Attas mendefinasikan world-view Islami sebagai ru’yat al-Islam li al-wujud.
Manakala pandangan Dr. Uthman El-Muhammady, di mana beliau telah mengupas istilah sekular daripada sudut barat serta secular dalam bentuk pengetahuan dan amalan dalam Islam. Istilah sekular dari sudut pendidikan, seni (muzik), sejarah, sastera dan lain-lain, ianya membawa maksud pendidikan yang tidak berhubung dengan agama atau mengecualikan pengajaran agama dari pendidikan. Dr. Uthman telah membahagikan sekular dari sudut negatif dan positif. Dari sudut negatif apabila sekular diamalkan, langsung tidak mempunyai hubungan dengan kerohanian (lebih kepada duniawi) dan juga bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Manakala sekular yang positif pula ialah yang dibolehkan dalam Islam, contohnya seseorang yang melakukan kerja yang dicampur dengan fahaman ini untuk membolehkan ia menunaikan ibadah kepada Allah s.w.t.
Namun begitu, beliau menyatakan bahawa adalah lebih wajar sekiranya istilah sekular ini tidak dibahagikan kepada maksud yang positif (yang boleh diamalkan) dan negatif (yang benar-benar keji) yang pastinya setiap sekular itu hanya menjurus ke arah keduniaan tanpa dikaitkan dengan urusan ukhrawi. Hal ini apabila dikaitkan dengan kerohanian ia berubah menjadi sakral (suci). Istilah sekularisme secara keseluruhannya yang dipetik dari kamus Webster’s Encyclopedia, kamus Al-Mawrid, kamus Dewan dan Oxford English Dictionary jelas menunjukkan bahawa setiap perkara yang dilakukan hanya berhubung dengan dunia tanpa berkaitan dengan Zat Mutlak (Allah s.w.t).
Selain itu sekularisme juga merupakan peraturan yang terdiri daripada dasar dan pelaksanaan-pelaksanaan yang tidak menghiraukan setiap bentuk keimanan agama. Ia merupakan suatu kepercayaan bahawa agama dan urusan-urusan gereja atau keutuhan dan kepadrian tidak patut dicampur dengan urusan pentadbiran Negara. Justeru itu, setelah pelbagai takrif sekular telah diutarakan, boleh kita simpulkan bahawa sekularisme merupakan suatu aliran yang memisah hal keagamaan dengan urusan Negara. Sesungguhnya aliran ini tampak jelas bertentangan dengan Islam.-fb
0 ulasan:
Catat Ulasan