SKS dilancar banteras gejala sosial
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang di Parlimen ini menjadi DUN kedua di negeri ini yang mempunyai Skuad Khidmat Sukarela (SKS) di bawah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan.
Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan, Mahadi Mat Zin berkata, pelancaran SKS DUN Mengkebang itu diadakan sempena program Belia Cakna Masyarakat di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chenulang dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, pelancaran disempurnakan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman dan dihadiri wakil urusetia berkenaan, Muhammad Hanif Wan Ahmad.
“Dengan pelancaran itu, DUN Mengkebang menjadi DUN pertama di Parlimen ini dan juga yang kedua di Kelantan selepas DUN Ayer Lanas yang menubuhkan SKS.
“Sebagai simbolik pelancaran SKS ini, Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai menyerahkan seragam skuad kepada Ketua Dewan Pemuda Pas DUN Mengkebang, Abdul Hashim Jusoh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Mahadi berkata, skuad sukarela itu kelak akan berperanan mengawal dan membanteras gejala sosial di kawasan kampung sekitar DUN Mengkebang terutama dalam kalangan anak muda dan belia.
Menurutnya, penubuhan SKS juga bertujuan mendidik anggota skuad itu sendiri ke arah menjadi belia yang prihatin dan cakna dengan masalah sosial di kawasan masing-masing serta berusaha menghindarinya.
“Kita sasarkan sekurang-kurangnya 100 belia akan menyertai SKS DUN Mengkebang sebelum pelancaran skuad diadakan di tiga lagi DUN lain dalam Parlimen ini iaitu Guchil, Manek Urai dan Dabong,” katanya. - SH
0 ulasan:
Catat Ulasan