Pelajar hilang ketika mandi ditemui lemas

Oh! Krai Utara

Share
KUALA KRAI - Anak Pengurus Pusat Operasi Zon Timur HPA Industries Sdn Bhd yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya di muka kuala Sungai Lebir-Sungai Galas, dekat Kubur Dala, Kampung Tualang, di sini, kelmarin, ditemui lemas petang semalam. 

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Nasir Hassan berkata, mayat Muhammad Khairi Ismail, 18, ditemui terapung oleh orang awam berhampiran Kampung Batu Lada kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada jam 5.35 petang. 

Menurutnya, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, di sini, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. 

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang kelmarin ketika mangsa sedang mandi bersama tiga lagi rakannya sebelum dia dilaporkan tiba-tiba hilang dipercayai hanyut dibawa arus. 

“Bomba mula memantau kawasan mangsa dilaporkan hilang pada jam 8 pagi ini sebelum operasi mencari dan menyelamat oleh sembilan anggota Unit Skuba dimulakan pada jam 11 pagi,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini, semalam. 

Operasi diketuai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusma Mat Yusoff itu turut disertai Ketua Polis Balai, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Inspektor Mazlan Idris bersama 13 anggota dan 30 penduduk. 

Kejadian petang kelmarin berlaku ketika mangsa bersama tiga rakannya, Mohd Naim Aizat Zulfatah, 14, Mohd Afiq Ariff, 14, dan Hamizat Che Hasim, 35, sedang mandi di kuala dua sungai berkenaan yang membentuk Sungai Kelantan, dekat Kampung Tualang, di sini. 

Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Omar berkata, anak keempatnya daripada lima adik beradik itu keluar dari rumah selepas solat Asar untuk mandi sambil mencari ‘etak’ (siput kecil) di sungai berkenaan. 

“Sebelum keluar, Muhammad Khairi beritahu emaknya yang dia nak keluar ke sungai untuk cari ‘etak’. Emak dia sempat pesan supaya berhati-hati dan dia jawab, tak apa dan tak payah risau,” katanya. 

Ismail berkata, dia menerima berita mengenai kejadian menimpa Muhammad Khairi daripada isterinya, Fauziah Mohd Zain kira-kira jam 6 petang kelmarin ketika dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu. 

Katanya, walaupun bukan selalu tetapi anaknya yang pandai berenang itu sudah biasa mandi di sungai berkenaan sebelum ini. 

“Tak ada, dia macam biasa saja,” kata Ismail ketika ditanya jika Muhammad Khairi ada menunjukkan perubahan atau kelakuan pelik sebelum kejadian itu.-sinarharian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...