Anak saudara Nik Aziz kaki tipu ?
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan seorang pemuda yang memiliki kebolehan ‘membangunkan’ keris kerana sudah ramai yang tertipu sehingga mengalami kerugian harta benda dan wang ringgit.
Seorang mangsa, Chung Bun Chiel, 44, berkata, lantaran percaya dengan kebolehan pemuda berusia 34 tahun itu yang turut mengaku sebagai anak saudara kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dia mengalami kerugian hampir RM3,000.
Menurutnya, sebelum mengetahui perkara sebenar, dia turut memperkenalkan pemuda yang berasal dari Kuala Pertang, dekat sini, kepada rakannya sehingga dua daripada mereka turut menjadi mangsa penipuan menggunakan taktik sama.
”Saya mula kenal pemuda ini selepas ambil dia bekerja sementara di bengkel saya pada 1 Oktober lalu dan sejak itu, dengan percakapannya yang lembut membuatkan orang mudah percaya selain kebolehan ‘membangunkan’ keris.
”Saya juga pernah pergi ke rumah Menteri Besar dengan pemuda ini dan bila tengok gaya bercakap dan pangkal nama mereka yang sama (Nik), jadi saya ingatkan dia memang anak saudara Nik Aziz sebab itu saya perkenalkan dia kepada rakan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Bun Chiel yang juga pemilik syarikat Dato Bun Constructions di Keroh, dekat sini, berkata, cubaan untuk mendapatkan semula barang miliknya termasuk tiga cincin berharga daripada pemuda itu gagal malah dia pula diserang ahli keluarga pemuda berkenaan.
Menurutnya, laporan mengenai kes penipuan, yang kini disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan kejadian dia dipukul dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Sabtu lalu.
Katanya, laporan pertama dibuat kira-kira jam 2 petang sebelum laporan kedua dibuat jam 8 malam iaitu kira-kira sejam selepas dia dipukul sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
”Selain menipu saya, pemuda ini juga disyaki guna nama syarikat saya yang ada logo PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan ‘walkie-talkie’ untuk memeras ugut duit daripada buruh asing yang bekerja di Felda Aring, Gua Musang,” katanya.
Menurutnya, dua rakannya termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) dari Machang yang turut menjadi mangsa penipuan pemuda itu mengalami kerugian hampir RM6,000.
Menurutnya, salah seorang mengalami kerugian RM2,600 termasuk tanggungan hutang gara-gara percaya kebolehan pemuda itu sebagai bomoh manakala seorang lagi rugi RM3,200 selepas dijanjikan pelepasan daripada satu kes mahkamah atas statusnya sebagai ‘anak saudara’ Nik Aziz.
”Kami berharap kes ini dapat disiasat segera termasuk bagaimana pemuda ini boleh memiliki cop palsu Mahkamah Majistret Machang dan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kelantan bagi mengelakkan lebih ramai tertipu kerana pemuda ini kini didakwa berada di Ketereh,” kata Bun Chiel.
Difahamkan, ini bukan kes pertama melibatkan bekas anggota tentera kena pecat itu kerana penduduk kampung seperti Pasir Era juga pernah menjadi mangsa dengan penyamaran pemuda terbabit sebagai polis, kastam dan anggota risik tentera.
http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story6021031.asp
0 ulasan:
Catat Ulasan