Dr. Rozmey sediakan 17 pengawal demi keselamatan diri dan keluarga.

Oh! Krai Utara

Share


BAGINYA tiada yang lebih utama selain membina sebuah kediaman yang sempurna untuk keluarga. Malah cita-cita perniagaan sudah dianggap sebagai agenda kedua.
“Rumah yang selesa untuk isteri dan anak-anak perlu disediakan dahulu kerana selepas ini saya mungkin kekurangan masa disebabkan sibuk dengan perniagaan.
“Justeru daripada sebuah rumah teres di Mergong, Alor Setar, saya berpindah ke banglo ini,” jelas Dr. Che Rozmey Che Din, 39, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Herba Prima Sdn. Bhd.
Syarikat yang berpangkalan di Jitra, Kedah itu terkenal dengan minuman kesihatan dan menguruskan badan, Jus Mate 5. Dr. Rozmey juga merupakan pengasas klinik Jitra Specialist Centre pada tahun 2002.
Menurut Dr. Rozmey, banglo setingkat yang terletak di Darulaman Heights, Jitra itu dibeli pada tahun 2003 namun cuma diubahsuai dua tahun berikutnya dengan konsep yang ringkas tetapi kemas.
“Semua perabot yang ada di dalam rumah ini adalah cita rasa saya sendiri manakala landskap halaman diilhamkan daripada bacaan majalah dan selepas membuat pemerhatian,” ujar suami kepada Nur Zulaifa Zulkifli, 22, itu.
ATAS: DAPUR basah yang dilengkapi dua buah peti sejuk dan sebuah meja makan bulat. 
BAWAH: POKOK bunga plastik merupakan hiasan kegemaran Dr. Rozmey.


Dr. Rozmey juga ternyata lebih menyukai rumah setingkat.
“Saya boleh lihat terus apa yang anak-anak buat dan kami sekeluarga akan lebih rapat.
“Kalau rumah dua tingkat sukar untuk mengemas dan memerhati anak-anak,” ulasnya.
Kediaman lima bilik milik jutawan ini turut didiami anak-anak Dr. Rozmey – Puteri Amelia Natasha, 8, Putera Amirul Hakim, 7, dan ibu Dr. Rozmey, Mariam Abdul Rahman, 68.
Anak sulungnya, Syamsul Anwar, 16, tinggal bersama kakak Dr. Rozmey di Pahang.
BAWAH: KEHIJAUAN laman luar rumah banyak disumbang oleh pokok bonsai.
ATAS: BONGKAH kayu unik yang berfungsi sebagai meja dan kerusi.


Mahu jadi bilionair
Di sebalik kediaman yang serba ringkas itu jangan pula anda terkejut apabila melihat bilik tidur utamanya dilengkapi sebuah kolam mandi yang besar. Terdapat juga sudut bacaan dan gimnasium mini di bilik yang berkeluasan 55 meter persegi itu.
“Bilik tidur ini memang sudah ada semuanya. Kalau tiada urusan, saya boleh duduk sehari suntuk di dalam bilik sambil menonton televisyen atau membaca,” jelas Nur Zulaifa yang manja dipanggil Effa.
ATAS: RINGKAS. Ruang menonton televisyen Dr. Rozmey.
PENGGUNAAN kertas dinding menyerlahkan ruang makan.


Bagi menjaga keselamatan kediaman dan perniagaannya, Dr. Rozmey mengupah 17 orang pengawal keselamatan yang bekerja tiga syif sehari. Mereka turut menjadi pemandu, penjaga rumah dan pengawal peribadi.



“Bukan saya mahu berlagak tetapi saya pernah diugut bunuh oleh penyamun yang memecah masuk rumah saya beberapa tahun lalu.
“Jadi dengan keuntungan perniagaan yang ada, apa salahnya saya mengupah mereka menjaga keselamatan saya dan keluarga,” beritahunya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan.
Dari sudut seorang Dr. Rozmey, sikapnya yang peramah dan mudah mesra membuatkan sesiapa sahaja selesa dengannya walaupun baru bertemu untuk pertama kali. Beliau juga tidak lokek bercerita hal peribadi.
Dr. Rozmey menggambarkan dirinya sebagai lelaki penyayang yang sangat menyintai isteri, anak-anak dan ibunya.
KIRI: SIAPA yang tidak teruja jika kolam mandi sebesar ini ada di bilik tidur?
KANAN: GIMNASIUM mini di dalam bilik tidur utama.


Impiannya? Beliau mahu menjadi bilionair pada tahun 2015. Bagi Dr. Rozmey, perniagaan Jus Mate 5 bukan untuk dirinya sahaja malah dapat membantu orang lain termasuk pengedar produknya meningkatkan taraf kehidupan dengan memperoleh pendapatan lima angka sebulan.
“Kalau saya jadi bilionair ia akan beri kesan kepada pengedar-pengedar produk Herba Prima. Saya nak orang lain juga menikmati peluang ini.
“Mereka bukan orang senang. Asalnya mereka adalah golongan penghidap obesiti yang telah berjaya menurunkan berat badan menggunakan produk ini.
“Tanpa mereka, saya tiada di tempat sekarang. Jadi apa salahnya kami saling membantu,” ujarnya yang turut merancang membina sebuah hotel tiga bintang di Jitra.
Rambut rezeki
Dr. Rozmey berkahwin dengan Effa pada tahun lalu selepas kematian isteri pertamanya, Noor Halawiah Abdullah dalam satu kemalangan jalan raya pada September 2008.
“Saya amat sayangkan arwah. Selepas kematiannya saya takut saya akan jatuh dalam perniagaan dan tidak dapat uruskan anak- anak.
“Jadi keluarga pertemukan saya dengan Effa. Mujurlah Effa dan keluarganya dapat menerima saya.
“Walaupun Effa masih muda tetapi dia mampu menjaga tiga anak saya yang sedang membesar,” katanya.
DR. ROZMEY bersama isterinya, Effa, ibunya, Mariam dan dua anaknya, Puteri Amelia Natasha dan Putera Amirul Halim.


Bagi Effa pula, suaminya itu adalah lelaki yang penuh kasih sayang. Beliau tidak pernah kekok berada dalam keluarga Dr. Rozmey malah anak tirinya dianggap seperti anak sendiri sementelah mereka memanggilnya ‘mama’.
Dr. Rozmey yang bercita-cita untuk menjadi ikon usahawan Mukmin itu turut tidak tersentak apabila ditanya tentang fesyen rambutnya yang menjadi bualan ramai.
Sambil tergelak besar dan berseloroh beliau berkata: “Ini rambut rezeki, fesyen ini saya sudah buat sejak berusia 20-an lagi bukannya apabila sudah terkenal sekarang. Tidak timbul saya tiru rambut siapa-siapa.”
Jelasnya lagi, fesyen berkenaan digayakan sejak dahulu lagi.
“Saya memang suka gaya macam ini. Mungkin ini identiti saya,” jelasnya sambil menunjukkan foto-foto lama ketika beliau berusia 20-an.-KOSMO

1 ulasan:

  1. elmies berkata...

    indah rumah dr rozmey kn.......

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...