Wahai Umat Melayu Oii! Perbezaan pandangan itu nikmat!
Oh! Krai Utara
Sejumlah teman tidak percaya akan berita bahawa Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan. Beliau ialah mantan mufti Perlis yang cergas dalam memberikan pandangan bernas tentang Islam, dan juga tentang kehidupan orang Islam. Namun, itulah yang berlaku: penahanan.
Ketika membaca berita itu, saya teringatkan kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas lama dahulu. Ketika itu saya berada dalam kuliah ‘Islam dalam Kebudayaan Melayu’. Prof Naquib menegaskan bahawa mujahid Pasti dikelilingi musuh. Dalam konteks penahanan Dr Asri, saya tidaklah segera menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kata-kata Prof Naquib secara tiba-tiba muncul di fikiran.
Oleh sebab saya telah lama berpegang bahawa unsur lakonan amat akrab dengan tingkah laku manusia, segala hal yang seumpama ini tidaklah menghairankan saya. Persediaan untuk membicarakan kes mantan mufti yang didakwa mengajar tanpa tauliah, tiada pada saya. Saya tegaskan di sini, saya tidak mempunyai maklumat tentang hal itu, kosong. Jadi, dalam membicarakan perbezaan pandangan, elok saya pergi ke arena politik, yang jauh lebih hebat daripada penahanan tersebut.
Dalam arena politik, kita dapati ruang amat sempit untuk membicarakan segala hal yang terjadi di Malaysia. Kita mungkin bertanya, apa khabar Badrul Hisham Abdullah yang menjadi wakil Bebas di Pelabuhan Klang? Dalam hal itu saja, saya berfikir panjang, kerana selama ini saya tidak pernah terfikir Dr Syed Husin Ali sudi mengakui kesalahan teknik meletakkan calon di kawasan itu. Kata Syed Husin, orang baik-baik takut bertanding, dan pihaknya (PKR) tidak sangka Badrul Hisham boleh menang. (Berita Harian, 31 Oktober, 2009).
Pilih calon terbaik
Saya tidak fikir itu ialah kesalahan teknik. Apabila calon dipilih, kita hendaklah mengatakan bahawa calon itu sudah tepat. Ketika Barisan Nasional kalah di satu tempat di utara dulu, ada juga suara yang mengatakan salah pilih calon. Tidak sedap benar kita mendengar kata-kata demikian, kerana jika calon tidak dipilih dengan cermat, itu tandanya rakyat dibelakangkan. Prinsip ‘rakyat didahulukan’ antara lain membawa makna bahawa calon yang diletakkan ialah calon terbaik.
Slogan ‘rakyat didahulukan’ialah slogan kerajaan baru, bukan slogan PKR. Itu juga bukan slogan Pakatan Rakyat. Cuma, kita Pasti cepat teringat, bahawa selama wujudnya sistem demokrasi, slogan itu sudah ada secara senyap. Apakah yang kita cari ketika kita mengundi? Yang dicari ialah pemimpin yang mendahulukan rakyat. Tidak mungkin kita mencari pemimpin yang mendahulukan pemimpin itu sendiri! Oleh itu, pihak pembangkang juga hendaklah berfikir ke arah yang sama: rakyat didahulukan!
Kita menunggu berita pemilihan jalan oleh Badrul Hisham Abdullah. Nama beliau jarang muncul dalam apa-apa jenis berita, jadi sukarlah kita mengetahui kemungkinan jalannya. Lain pula halnya dengan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Sabah.
Tidak kita dengari sesiapa mengatakan bahawa pemilihan Datuk Dr Jeffrey merupakan satu kesilapan. Datuk Dr Jeffrey dapat dibandingkan dengan Datuk Ibrahim Ali di Kelantan dalam hal tertentu. Mereka mempunyai keupayaan untuk bertukar dari satu parti politik, ke parti politik yang lain. Bukan mudah untuk membina keupayaan ini. Memang boleh sesiapa pun melompat dari satu parti ke parti lain, tetapi itu ialah tindakan melayan ketidakpuasan hati sahaja. Yang sukarnya bukan itu. Yang sukarnya ialah untuk berada di atas, setelah tindakan melompat-lompat itu dilaksanakan. Ibrahim Ali tetap di atas, biarpun beliau melompat dari parti ke parti, dan kini menjadi bebas, dan Dr Jeffrey pun demikian. Adakah Badrul Hisham Abdullah memiliki keupayaan itu? Kita tunggu. Jangan menyebelah!
Daripada Dr. Mohd Asri, kita ke Badrul Hisham, kemudian ke Dr Jeffrey. Bagaimana halnya dengan politik Perak? Bulan Oktober yang baru berkePas ialah bulan pollitik hangat. Kita telah mengetahui perbalahan yang berkaitan dengan MIC dan MCA, kedua-duanya dalam Barisan Nasional. Di Perak, yang berbalah ialah siaran ulangan. Walaupun kita tidak dapat menikmati berita persidangan di bawah atau di atas pokok, kita telah membaca kisah kekecohan.
Tidak menyebelah
Ingin saya ulangi pandangan simple saya tentang politik Perak. Pengajaran yang paling besar daripada peristiwa kekecohan persidangan tidak lain dan tidak bukan: Rakyat jangan membina kekuatan yang sama antara kerajaan dengan pembangkang. Jika kerajaan dan pembangkang sama kuat, begitulah akibatnya. Ini juga tidak bersikap menyebelah.
Saya telah melihat seorang yang berbadan besar menampar orang lain yang bertubuh kurus cengkung. Si kurus tidak melawan sebaliknya membuat laporan polis. Jika orang yang kena tampar itu sama besar dan sama kuat, maka perlawanan akan berlaku. Perlawanan itu akan berterusan, dan akan muncul pula puak-puak yang akan membantu kedua-duanya. Dalam kes orang bertubuh besar menampar orang bertubuh kurus cengkuing itu, saya tidak bersikap menyebelah juga. Bagaimanakah akan saya menyebelah, saya sendiri tidak tahu kenapa si besar menampar, dan layakkah si kurus ditampar?
Analogi tampar menampar mungkin boleh disesuaikan dengan politik. Kata Marwilis Haji Yusof –ahli politik berdekad-tekad lalu – politik tidak lain daripada libas melibas.
Sejauh yang saya perhatikan, dapat saya simpulkan bahawa politik Malaysia sebenarnya sedang menuju kematangan. Apa-apa yang berlaku ialah pengajaran, dan kebanyakannya ‘menghiburkan’. Kita dapat memahami UMNO, Pas,MCA , DAP, PKR, MIC dan beberapa lagi dengan jelas. Rakyat tidak akan mudah tertipu, kerana bahan bacaan banyak. Jika ada pihak yang menyebelah dalam penulisan makalah, ada pula yang tidak bersikap demikian.
Rakyat juga memperoleh maklumat daripada media alternatif. Baru-baru ini kita dapat membaca pandangan Tuk Guru Datuk Nik Abdul Aziz, tokoh yang amat berpengaruh dalam Pas. Pengaruh Datuk Nik Abdul Aziz berjaya memadamkan slogan Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Itu dalam Pas. Perubahan sikap Datuk Seri Abdul Hadi juga dapat dipelajari oleh sesiapa saja, bahawa manusia boleh berubah.
Jadi, jika esok atau lusa, ada lagi perubahan, misalnya ada orang melompat parti, terimalah peristiwa itu dengan pandangan politik yang jernih dan dibaluti kebahagiaan. Ddia atau mereka melompat kerana pandangan sudah berbeza. Perbezaan pandangan adalah nikmat.- Sinar Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan