Kenyataan Media DUN Perak : Polis Halang ADUN Pakatan, Bubar DUN Segera

Oh! Krai Utara

Share
Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan beberapa anggota Polis yang diarahkan supaya menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat untuk memasuki Dewan Persidangan semalam.
Insiden pertama berlaku kira-kira pukul 9 pagi seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia dimana ADUN Ayer Tawar yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bersama kira-kira 10 wakil rakyat Pakatan dihalang memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan atas alasan masa untuk memasuki kawasan berkenaan adalah selepas jam 9.30pagi ke atas.
ADUN Pakatan yang diketuai oleh YAB Nizar Jamaluddin hanya dibenarkan masuk kira-kira jam 9.50 pagi tetapi berlaku insiden kedua dimana mereka sekali lagi dihalang untuk memasuki Dewan dan pihak Polis merampas Songkok yang dipakai oleh Speaker yang dilantik atas mandat rakyat, YB. V Sivakumar.
Sidang DUN bermula jam 10 pagi tanpa kehadiran ADUN dari Pakatan yang dikawal ketat oleh pihak Polis di luar Dewan.
PAS juga mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang ADUN Pakatan hingga ada yang dipukul seperti yang dilaporkan oleh YB Sivakumar.
Semua ADUN Pakatan hanya dibenarkan masuk pada jam 9.22 pagi iaitu semasa Zambry Abdul Kadir membentangkan Budget.
PAS melihat bahawa anggota Polis yang bertugas menerima arahan khas dari pihak tertentu bagi menimbulkan ketegangan awal sempena sidang DUN bagi memburukan imej ADUN Pakatan.
PAS juga kecewa kerana sidang DUN hanya berlangsung tidak sampai satu hari, sedangkan sidang-sidang DUN Perak sebelum ini mengambil masa lebih dua minggu bagi memberikan ruang pada setiap wakil rakyat membentangkan isu rakyat di kawasan masing-masing.
Jelaslah persidangan semalam hanyalah bertujuan bagi memberikan kuasa secara tidak sah kepada Zambry dan Kerajaan bonekanya mempergunakan hasil negeri yang telah diperolehi semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan tahun lepas.
PAS mendesak agar DUN Perak dibubarkan segera bagi membuka ruang kepada rakyat menentukan kerajaan yang sah untuk mentadbir negeri Perak. Tindakan rampasan kuasa dan juga penyalahgunaan kuasa terhadap anggota Kerajaan khususnya Polis hanya akan memburukan keadaan dan memberikan imej yang tidak baik kepada perkembangan ekonomi Perak.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...