Didik anak di rumah waktu Maghrib
Oh! Krai Utara
Wan Hanafi Wan Sulung,62, tidak pernah mengatur kehidupan anak-anaknya dalam keadaan tekanan, tetapi akan memastikan mereka berada di rumah sebelum azan Maghrib untuk mengelakkan kejadian tidak diingini pada waktu malam.
Menurutnya, dengan kebebasan yang diberikan, anak-anaknya diasuh cara mendisiplinkan diri dan memahami apa yang diinginkan mereka pada masa depan dan berusaha untuk mencapainya.
“Saya tidak bersikap menekan anak-anak dalam mengatur kehidupan atau pembelajaran mereka. Mereka diberikan kebebasan untuk memilih kehendak masing-masing dan berusaha mencapainya.
“Mereka dididik seperti biasa tanpa sekatan dan bebas memilih cita-cita masing-masing tetapi perlu beru-saha bersungguh–sungguh untuk mencapai apa yang diinginkan untuk masa depan mereka,” katanya kepada :Sinar Harian: selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil untuk anaknya yang layak ke universiti.
Katanya, adalah penting untuk memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu malam bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala tidak sihat dan sentiasa memantau pergaulan anak-anak agar mereka tidak tersalah memilih kawan.
Menurutnya, beliau bersyukur dengan didikan sederhana dia dan isterinya, Asiah Yusof,55, kesemua lapan anaknya berjaya memasuki universiti termasuk tiga di universiti luar negara.
Anak bongsunya Mona Munirah,19, kini melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti di Canterbury, England dalam bidang bahasa iaitu Teaching English As A Second Language (TESL).
“Saya amat bersyukur kerana semua anak-anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan semuanya memasuki Maktab Rendah Sains Mara selepas tamat sekolah rendah.
“Tiga daripada mereka ke universiti luar negara iaitu selain Mona Munirah ialah Hanif Azizi, 22, yang sedang menuntut dalam bidang perubatan di India dan anak kedua saya pernah menuntut di London,” katanya.-sinar harian
0 ulasan:
Catat Ulasan