Share
Tidak ada sesiapa dapat menghalang seseorang pesakit (apabila doktor menasihatkannya) supaya berpuasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum sebelum sesuatu pembedahan dibuat, alasan yang cukup mudah iaitu demi kesihatan pesakit dan mempercepatkab sembuh.
Jelas disini puasa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kesihatan seseorang. Hubungkait puasa dan kesihatan ini sudah lama diamalkan oleh orang-orang terdahulu sebelum datangnya Islam lagi. Kalau kita membuka lembaran sejarah kita akan dapati bangsa yang terdahulu sering mengamalkan puasa cuma niatnya berlainan , mungkin untuk melupakan diri dari permasalahan dunia atau sebagai persiapan peperangan. Bangsa Mesir kuno selalu berpuasa 7 hari hingga 6 minggu setiap tahun. Orang-orang Yunani mengambil tradisi puasa dari orang-orang Mesir kuno dengan mewajibkannya terutama kepada orang perempuan. Tanda puasa orang perempuan ialah dengan suasana duka. Sebahagian kabilah Yunani pula berpuasa beberapa hari secara berturut-turut sebelum peperangan bermula.
Orang-orang Cina berpuasa pada hari-hari biasa lebih-lebih lagi pada masa menghadapi musibah. Orang-orang Tibet ada yang dapat menahan diri berpuasa selama 24 jam berturut-turut sehingga air liur sendiripun tidak boleh ditelan.
Orang-orang Yahudi iaitu pengikut Nabi Musa a.s berpuasa 40 hari, mereka juga berpuasa apabila mereka yakin bahawa Allah sedang marah pada mereka. Taurat juga mewajibkan puasa pada tanggal 9 bulan 8 disamping 1 hari sebagai kafarat.
Orang-orang Nasrani pengikut Nabi Isa a.s juga berpuasa selama 40 hari dan sering juga berpuasa satu hari untuk kafarat sebagaimana yang diwajib dalam syariat Musa.
Begitulah apabila dating Islam, diwajibkan sama seperti orang-orang dahulu, bezanya sebulan berturut-turut dalam salah satu rukun Islam yang lima. Firman Allah yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman, telah
diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana telah diwajib atas orang-orang sebelum kamu bertaqwa”
(Al-Baqarah :183 )
Puasa Dalam Ilmu Kedoktoran
Puasa merupakan satu-satunya ubat yang dapat mengubati gangguan usus yang berpanjangan dan yang terganggu akibat minuman keras. Puasa dapat mengurangi berat badan akibat banyak makan dan bertambahnya tekanan, selain itu dapat mengubati pelbagai penyakit seperti penyakit darah tinggi , kencing manis dan sakit jantung.
Aturcara Berbuka Mengikut Islam
Islam menggalakkan berbuka dengan buah tamar kerana usus akan menyerap air yang bergula untuk mengembalikan kesegaran setelah seharian berpuasa. Jika dia mengambil makanan berat segera bermakna menghalang kemasukan gula yang kemudian memerlukan waktu 3 atau 4 jam sebelum usus dapat menyerap gula semula. Jadi samalah dengan orang yang berpuasa terus.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “ Apabila kamu berbuka, maka hendaklah dengan buah kurma kerana ia membawa berkat, kalau tidak ada cukup dengan air kerana itu pembersih” (Riwayat Abu Daud, Tarmizi, Ibn. Majah dan Ibn Hibban)
Peringkat Puasa
Puasa terbahagi kepada 3 peringkat, umum, khusus dan terkhusus iaitu puasa umum ialah menahan diri dari makan dan nafsu seks iaitu puasa orang awam. Puasa khusus ialah disamping pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki serta seluruh anggota badan dari melakukan dosa, ini puasa orang-orang soleh. Puasa terkhusus iaitu puasa hati dari niat-niat yang buruk dan fikiran-fikiran duniawi serta memalingkan diri secara keseluruhan dari segala sesuatu selain Allah, ini adalah puasa peringkat para Nabi dan muqarrabin.
Puasa khusus boleh dicapai dengan 6 perkara :
1. Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya sehingga tidak tertuju kepada segala yang tercela atau menyibukkan hati dan lalai daripada mengingati Allah.
Jabir r.a darpada Anas, telah bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “5 perkara dapat membatalkan pahala puasa seseorang , ucapan bohong, mengumpat, fitnah , sumpah palsu dan pandangan yang bernafsu”
(Riwayat Al-Azdiy)
2. Menjaga lidah dari kata-kata sia-sia, dusta, fitnah, caci maki dan menyinggung perasaan orang lain dengan menyibukkan berzikir kepada Allah dan membaca Al- Quran.
3. Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang dibenci agama sebab segala sesuatu yang haram diucap, haram pula di dengar seperti mengumpat, ejekan dan sebagainya.
4. Mencegah semua anggota tubuh badan dari perbuatan haram seperti tangan, kaki, perut (makanan haram dan syubhat), sabda Nabi s.a.w yang bermaksud
“ Berapa banyak orang berpuasa sedangkan ia tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain rasa lapar dan dahaga” ( An –Nasa’i, Ibn Majah dari Abu Hurairah)
5. Berpada ketika berbuka dengan makanan halal sekadar sahaja, tujuannya elak nafsu kembali kuat, ringan untuk bertahajjud dan qiamullail.
6. Hati- setelah selesai berbuka sentiasa terpaut antara harap dan cemas, dan setiap kali melakukan ibadat lain.
Selain itu satu perkara yang wajib ialah hendaklah menunaikan zakat fitrah kerana pahala puasa akan diangkat selepas ia dibayar.
Ia dijelaskan dalam hadith yang bermaksud : Dari Ibn Abbas r.a katanya :
“ Rasul s.a.w telah menentukan wajibnya zakat fitrah untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin. Oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka dikira sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain”.
(riwayat Abu Daud)
Menurut huraian ulama, orang yang melengah-lengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktunya yang ditentukan bukan sahaja berdosa bahkan wajib dia membayar sesudah itu, jika tidak, tetap menjadi hutang, sehingga dia menjelaskannya walaupun akhir umurnya.
Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik dan diterima Allah. Amin.-www.islam.gov.m
0 ulasan:
Catat Ulasan