inkues Kematian Teoh Beng Hock:Teoh dipercayai membunuh diri - Dr. Prashant
Oh! Krai Utara
SHAH ALAM: Pakar patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Prashant Naresh Samberkar juga menyimpulkan bahawa beliau percaya yang setiausaha politik Teoh Beng Hock telah meninggal dunia kerana membunuh diri.
Dr. Prashant mengemukakan teori bahawa Teoh mungkin berada dalam keadaan mencangkung dibingkai di tingkap tingkat 14 sebelum terjun.
Beliau menyatakan demikian pada prosiding inkues kematian Teoh di sini sebentar tadi.
Pandangan itu juga mirip keterangan seorang pakar forensik minggu lalu.
Pada Jumaat lalu, Dr. Khairul Azman Ibrahim iaitu Pakar Perunding Kanan, Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah berkata, Teoh kemungkinan meninggal dunia di Plaza Masalam di sini bulan lalu disebabkan membunuh diri.
"Pada pendapat saya terdapat tanda-tanda si mati bunuh diri. Pendapat ini boleh dibincangkan berdasarkan tidak ada kesan pergelutan yang jelas.
"Buktinya ialah tak ada kesan darah, barang pecah, barang berterabur di tempat tersebut dan juga pen yang terdapat pada baju masih berada di tempat poket tersebut.
"Dan juga hasil DNA, tidak terdapat kesan-kesan DNA yang sama dengan pegawai-pegawai SPRM. Dan, kesan kecederaan yang dialami tidak menunjukkan apa-apa pergelutan dan ia boleh diterangkan sabagai kesan yang dialami disebabkan oleh kesan jatuh," jelas Dr. Khairul.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.-mstar
0 ulasan:
Catat Ulasan