Home
>
Politik
> inkues Kematian Teoh Beng Hock:Beng Hock genggam tangan tahan sakit
Share
SHAH ALAM – Genggaman tangan Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang mati dipercayai jatuh dari Tingkat 14, Plaza Masalam, 16 Julai lalu, berkemungkinan disebabkan mendiang menahan sakit yang sangat kuat.
Pakar Perunding Kanan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini, Dr Khairul Azman Ibrahim berkata, terdapat kemungkinan Beng Hock masih hidup selepas jatuh ke Tingkat 5, plaza itu di Seksyen 9 di sini, menyebabkan dia menggenggam tangannya.
Beliau yang menjadi saksi ke-10 pada inkues siasatan kematian Beng Hock berkata, kemungkinan itu ada dan memberi contoh di mana seorang pengawal keselamatan melihat seseorang yang jatuh dari tempat tinggi berdiri sebelum jatuh semula.
Pendapat itu diutarakan pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini, ketika Dr Khairul disoal peguam pemerhati daripada Majlis Peguam, Rajpal Singh.
Bagaimanapun, Dr Khairul tidak menolak kemungkinan yang dicadangkan peguam pendakwa, Tan Hock Chuan, bahawa genggaman itu berlaku semasa proses mayat menjadi kaku.
Dr Khairul, 51, juga berkata, tidak ada tanda yang konsisten seperti kesan lebam untuk menunjukkan Beng Hock jatuh terlentang.
Meskipun berpendapat Beng Hock sedar semasa kejadian, Dr Khairul masih tidak menolak cadangan Rajpal mengenai kemungkinan Setiausaha Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah itu tidak sedarkan diri.
“Tetapi boleh dihujahkan si mati masih sedar berikutan jarak mayat dijumpai daripada bangunan agak jauh. Pada pendapat saya, si mati masih sedar. Jika dia tidak sedar, dan ada satu atau dua orang angkat, calar-calar senang wujud. Jarak jatuh pun tidak begitu jauh,” katanya.
Sementara itu, Dr Khairul juga menolak kemungkinan yang dicadangkan peguam Gobind Singh Deo bahawa tali pinggang Beng Hock putus disebabkan pergelutan ataupun semasa dipegang beberapa orang dalam keadaan tergantung.
Dr Khairul berkata, sekiranya berlaku, kesan akan kelihatan dan Beng Hock, 30, akan jatuh terus dan bukannya seperi kedudukan mayat ditemui, iaitu agak jauh daripada bangunan.
Dr Khairul berkata, tali pinggang itu sendiri akan jatuh. Tali pinggang itu masih berada di pinggang seluar Beng Hock.
Prosiding semalam, juga menyaksikan Gobind yang mewakili keluarga Beng Hock menyifatkan Dr Khairul sebagai saksi yang tidak berkredibiliti kerana mendakwa saksi itu tidak konsisten dan kerap menukar pendapatnya mengikut soalan yang diajukan.
Pertikaian itu selesai selepas Koroner Azmil Muntapha Abas meminta Dr Khairul untuk menjelaskan pendapatnya yang disokong Hock Chuan.
Prosiding inkues itu untuk mencari punca kematian Beng Hock, ditemui mati 10 jam selepas disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 14 bangunan itu kerana dakwaan salah guna wang kerajaan Selangor.
Prosiding bersambung, hari ini, dijangkakan Dr Prashant Naresh Samberkar, pakar forensik dari Pusat Perubatan Malaya, dekat sini akan memberi keterangan dan diikuti pegawai SPRM. -
www.sinarharian.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan