Share
Jadual mengajar saya semester ini untuk pelajar sarjana ada kuliah pada pukul 3 petang setiap hari Jumaat.
Oleh sebab itu bagi menjimatkan waktu selepas solat Jumaat di Masjid Jamik Tanjung Malim, saya singgah sahaja di gerai makan Abuya untuk makan tengahari. Ini jarang saya lakukan lantaran gerai ini selalu sesak sebab sangat popular dalam kalangan pelajar dan orang ramai.
Setelah mengisi pinggan, lalu seorang pelayan muda bertanya “Hendak minum apa?”
Saya menjawab “Teh o panas kurang gula.”
Layanannya cukup pantas, sebelum saya sempat duduk pelayan muda tadi sudah sampai kembali dengan minuman saya sambil bertanya, “Adik nak duduk di mana?”
Terperanjat saya dibuatkan oleh panggilan “Adik.” Dalam bahasa Za’ba, kata panggilan ini diberi istilah “pemadan taraf.”
Dengan serta-merta saya terfikir bahawa saya ini ditarafkan sebagai “Adik” sahaja. Pada hal, saya tidak berkopiah, dan rambut putih saya tentu jelas kelihatan.”
Saya cuma menunjukkan meja sebelah.
Oleh sebab saya masih dalam proses membayar makanan itu, maka saya mengambil peluang menerangkan kepada penerima bayaran yang duduk di kaunter. Andaian saya mengatakan tentulah yang memungut wang ini Tuan gerai tersebut.
Saya membuat permintaan “Puan, sila beri tahu pelayan yang itu, supaya tidak memanggil saya ‘adik.’ Panggil ‘Encik’ sahaja.”
Cik Puan itu menyedari kesalahan itu lalu memberi cadangan “Pak Cik, boleh?”
Saya menjawab, “Tidak, panggillah ‘Encik.’ Panggilan ‘Encik’ itu adalah hormat, sesuai dengan perniagaan. Panggilan ‘Pak Cik’ itu adalah panggilan keluarga, dan saya bukan ahli keluarga dia.”
Balas Cik Puan, “Serupalah.”
Saya pun memendekkan cerita dan duduk dan makan dengan tidak berselera.
Terasa saya gagal mengajarkan sesuatu amalan bahasa bersantun kepada Cik Puan ini.
Bodoh yang tidak boleh diajar dan cerdik yang tidak boleh diikut.
Rasanya, tidak mahu lagi saya ke gerai itu.-http://profabdullah.wordpress.com/
16 Julai 2009 pada 11:14 PTG
Salam berkunjungan.. Sy juga selama 4 thn di Tg Malim, hanya sekali saya makan di kedai tersebut.. kerana terpaksa jaga hati menemani kawan2. faktor kebersihan menyebabkan saya tidak berselera, biarpun ramai mengatakan di sana murah harganya.. tp bagi saya mencari tempat makan murah bukanlah faktor utama.