Kelantan Kini : Pas perlu ubah pendekatan kata Ketua Pembangkang Kelantan
Oh! Krai Utara
Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, kerajaan negeri tidak harus sekadar banyak bercakap di luar daripada mengemukakan bukti kukuh serta memohon mengikut saluran yang betul.
Beliau berkata, kerajaan Pusat tiada sebab untuk menghalang sekiranya kerajaan negeri memang berhak ke atas royalti berkenaan
"Saya setuju kalau kerajaan negeri minta (royalti), kalau ada sungguh (minyak dan gas) tetapi jika hanya berdasarkan kertas sekeping sahaja tidak cukup dan tidak padan untuk bising di luar (dalam ceramah-ceramah).
"Apa salahnya buat perundingan yang baik dengan kerajaan Pusat, jangan marah-marah dan sinis pada orang bila kita hendak minta duit.
"Soalnya adakah cukup tunjuk sekeping kertas dan kata orang itu hutang kepada kita," katanya ketika perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan Pertama 2009 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pas yang mentadbir Kelantan sejak 18 tahun lalu mendakwa kerajaan Pusat perlu membayar royalti minyak sebanyak RM900 juta kepada kerajaan negeri ini.
Ia disebabkan beberapa buah pelantar minyak dikatakan berada dalam kawasan perairan Kelantan.
Isu ini menjadi polemik politik terkini apabila ia mula diperkatakan di pentas-pentas ceramah ketika pakatan pembangkang berkempen pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai yang akan diadakan pada 14 Julai ini.
Mohd. Alwi berkata, kerajaan Pusat tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.
"Teruskan dengan perundingan bawa Menteri Besar, pegawai kewangan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumpa dengan Perdana Menteri mengenai masalah ini.
"Kita harus bekerjasama dan tidak perlu bergaduh, untuk rakyat tidak apa, tidak ada masalah boleh kerjasama kerana kita ada tanggungjawab yang sama untuk membangunkan rakyat," katanya.
Tambahnya, pertelingkahan akan memburukkan lagi keadaan dan tidak dapat membantu untuk memberikan faedah kepada negeri ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan