Malaysia Kini : Umno mula tabur janji polituk, RM89.8j bantu rakyat miskin
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI 29 Jun - Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan sebanyak RM89.8 juta untuk membantu rakyat miskin khususnya kaum wanita di negeri Kelantan sejak Januari 2007 hingga Mei lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dalam tempoh yang sama pula, kerajaan negeri hanya membelanjakan sebanyak RM23.5 juta.
Katanya, jumlah itu menjadi salah satu bukti keprihatinan Kerajaan Pusat membantu rakyat jika dibandingkan kerajaan negeri yang hanya 'gah' bercakap dengan usaha membangunkan negeri itu.
"Sehingga lima bulan pertama tahun ini sahaja, JKM telah membelanjakan RM21.7 juta, tetapi kerajaan negeri Pas pula hanya mengeluarkan dana bernilai RM2.5 juta untuk membantu rakyat mereka sendiri.
"Tahun lepas pula, kita belanja RM41.2 juta berbanding kerajaan negeri sebanyak RM11 juta, manakala tahun 2007, kita membelanjakan RM26.9 juta jika dibandingkan dengan mereka iaitu hanya RM10 juta," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jejari Bestari anjuran Jabatan Pembangunan Wanita yang bertujuan membantu golongan wanita di negeri ini menjana pendapatan di sini hari ini.
Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, kegagalan kerajaan negeri membantu masyarakat miskin di negeri itu merupakan antara punca ramai golongan wanita hidup melarat.
Sehubungan itu, katanya, Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai depan merupakan peluang untuk kaum wanita membela maruah mereka dan mendapat pembelaan sewajarnya.
"Selama hampir 20 tahun Pas memerintah, tetapi masih ramai golongan wanita di negeri ini yang terabai dan menjadi mangsa utama kemiskinan.
"Inilah ruang untuk kita menaikkan darjat, maruah dan kehidupan. Jangan biarkan hidup kita terus melarat tanpa bantuan," tambahnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan