Share
KUALA KRAI - PAS Kuala Krai mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bagi menghadapi cabaran pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai ekoran kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.
Yang Dipertua PAS (YDP) Kuala Krai yang juga ADUN Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan mulai semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.
“Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.
“Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun,” katanya ketika ditemui sejurus selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.
YB Abdul Latif berkata, PAS Kuala Krai akan menerima sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan atas bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut.
Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
“Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai,” katanya.
Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.
“Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan