DUN Perak kecoh, BN rampas kuasa

Oh! Krai Utara

Share

Persidangan DUN Perak yang dinanti-nantikan - menentukan hidup mati pentadbiran menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kestabilan kerajaan pencabarnya Datuk Zambry Abd Kadir - bermula seawal menjelang subuh hari ini apabila sekumpulan penyokong PAS mengadakan solat hajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.

Berikut perkembangan terkini di Perak:

11.13am Zambry membawa usul agar persidangan dewan ditangguhkan dan ia diluluskan. Persidangan dewan ditangguhkan, kata Ganesan.

Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan hari pertama belum boleh memasuki dewan.

11.01am Wakil-wakil BN berdiri mengelilingi timbalan Speaker, Hee Yit Fong dan menteri besar mereka Zambry.

Mikrofon Speaker kini dimatikan tetapi mikrofon depan Hee dan Zambry masih berfungsi walaupun telah dimatikan sebelumnya.

Dengan perlindungan kumpulan ADUN BN itu, Hee mengumumkan beliau kini sebagai pemangku Speaker dan mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau V Sivakumar daripada kerusi Speaker.

Mereka bagaimanapun tidak bertindak mematuhi arah tersebut.

Kemudian Zambry mengusulkan Sivakumar digugurkan sebagai Speaker dengan sokongan tangan semua ADUN BN. Zambry kemudian membawa usul melatikan R Ganesan sebagai Speaker baru.

Dengan cepat Ganesan datang dan menerima pakaian rasmi Speaker, memakainya, mengangkat sumpah dan menandatangani beberapa dokumen berkaitan di tempat ADUN BN.

Sivakumar masih duduk bertahan di kerusinya, sambil menjerit “Speaker (Ganesan) ini haram”, “selagi Speaker ada di sini, Speaker ini (Ganesan) adalah haram” dan “Perak ada Speaker haram.”

Ganesan kini cuba mengambil alih perjalanan dewan dan wakil-wakil BN membawa beberapa usul lagi.

Sivakumar kemudian bangun semula dan mengumumkan - tanpa mikrofon - semua usul yang dibawa sebentar tadi ditolak oleh beliau sebagai Speaker.

ADUN Pakatan bersorak gembira. Kumpulan wakil rakyat BN mengabaikan arahan Sivakumar, dan meneruskan dengan usul bahawa perhimpunan di bawah pokok, pada awal Mac, anjuran Pakatan Rakyat sebagai tidak sah.

10.35am Kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan terus bertegang. Speaker terus mengulangi bahawa usul yang dibawa Zambry untuk menggantikan beliau terbatal dan tidak sah, sementara menteri besar BN itu tetap bertegas Speaker itu telah diganti.

perak state assembly chaos in the assmbly between speakers and state reps 070509 02Speaker mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau keluar tujuh wakil rakyat BN, termasuk Zambry, dan tiga bebas. Pengawal bagaimanapun enggan berbuat demikian.

Kedua-dua pihak berkerumun di kerusi menteri besar di dalam dewan dan terus bertikam lidah. Setiausaha dewan cuba campur tangan tetapi ADUN Pakatan mengawalnya, sementara Speaker tidak melayannya.

Zambry cuba mengumumkan Speaker telah ditukar tetapi tetapi semua mikrofon ADUN telah dimatikan kecuali di depan Speaker. Setiap kali Zambry cuba bersuara, ADUN Pakatan Rakyat membuat bising.

Suasana tegang berlanjutan.

Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan tersebut belum boleh memasuki dewan akibat ketegangan tersebut.

10.20am Suasana kecoh di dalam dewan apabila kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat masing-masing bangun untuk campur tangan keputusan Speaker, V Sivakumar.

perak state assembly chaos in the assmbly between speakers and state reps 070509 01Sekumpulan ADUN Pakatan menghalang setiausaha dewan Abdullah Antung - yang juga digantung tugasnya - duduk di depan Speaker untuk memulakan persidangan.

Mereka menggesa Abdullah agar tidak campur tangan dengan alasan beliau hanya seorang kakitangan kerajaan.

Tindakan itu mendorong wakil-wakil rakyat BN bangun dan turut berhujah. Kedua-dua pihak saling bertengkar dan menjerit-jerit. Suasana dewan menjadi tidak tentu hala.

Bagaimanapun tiada pergaduhan fizikal berlaku.

Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir cuba berkata sesuatu tetapi Speaker menjawab bahawa beliau enggan mendengarnya. ADUN-ADUN Pakatan juga cuba menghalang Zambry bercakap.

Menteri besar BN cuba membawa usul menggantikan Speaker tetapi ditolak.

10.19am Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat ditahan polis berdekatan DUN Perak kerana memasuki kawasan larangan polis 500 meter dari bangunan tersebut.

Wakil rakyat PAS bagi Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dan wakil PSM bagi Sungai Siput, D Jeyakumar antara ADUN dan ahli parlimen pembangkang yang telah ditahan.

9.55am Speaker DUN V Sivakumar mengarahkan Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exconya - yang digantung oleh jawatankuasa khas dewan tersebut - keluar.

Beliau enggan memulakan persidangan jika ketujuh-tujuh itu enggan mematuhi arahannya. Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja sebagai tanda sokongan.

Tindakan tersebut bermakna Speaker - yang mempunyai kuasa tersendiri dalam cabang legislatif - tidak mengiktiraf keputusan mahkamah yang telah membatalkan penggantungan yang dibuat oleh DUN.

Sivakumar, yang mengetuai jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak, juga mengarahkan tiga ADUN bebas meninggalkan dewan.

Ketiga-tiganya dianggap telah meletakkan jawatan awal Februari lalu, sebelum rampasan kuasa BN.

Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja dan menjerit “keluar” ke arah 10 ADUN tersebut, tetapi mereka masih berdegil.

ADUN Pakatan dan BN masing-masing menjerit ke arah satu sama lain.

Speaker DUN terus mengarahkan 10 ADUN itu meninggalkan dewan. Kedua-dua pihak BN dan Pakatan masih saling jerit-menjerit ke arah satu sama lain. -Malaysiakini

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...