Oh! G2: Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman : Nostalgia bom di Baghdad
Oh! Krai Utara
TIDAK ramai yang tahu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, mempunyai nostalgia yang begitu menyentuh perasaan bersama mantan almarhum Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan Timbalan Presiden PAS, almarhum Ustaz Hassan Shukri, mantan Pesuruhjaya PAS Kedah, almarhum Ustaz Azahari Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.Mengimbau nostalgia silam yang berlaku 19 tahun yang lampau, Ustaz Latiff menceritakan, ketika itu beliau bersama pemimpin-pemimpin utama PAS di Hotel ar-Rashid, di tengah Kota Baghdad, Iraq hampir kena peluru berpandu yang dilepaskan tentera Amerika Syarikat yang berada di Teluk.Ustaz Latiff yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Kuala Krai, kita itu pelajar jurusan bahasa Arab di Universiti Baghdad, membantu Ustaz Fadzil dan rombongannya semasa menghadiri seminar antarabangsa yang dianjurkan gerakan Islam sedunia.Waktu itu hanya lima orang pelajar Melayu sahaja yang belajar di Baghdad, semasa Iraq berada di dalam sekatan udara dan ekonomi oleh Amerika."Ana mula-mula belajar di Pakistan. Kemudian balik ke Malaysia. Setahun ana mengajar di Pondok Sungai Durian, abang ana Ustaz Shukri menghantar ana ke Baghdad."Pada waktu itu ana masuk melalui Jordan. Tiada kapal terbang. Ana keseorangan menaiki bas dari Amman ke Baghdad, perjalanan merentasi padang pasir selama 14 jam. Jalan itu juga yang direntasi Ustaz Fadzil dan rombongannya," tutur beliau.Ternyata, ianya merupakan suatu nostalgia yang amat menyentuh perasaan dan jiwa. Penulis dapat melihat raut kesedihan di wajah Ustaz Latiff ketika menceritakan situasi yang beliau alami, dalam satu pertemuan di Kota Bahru minggu lepas.Sebagai anak muda yang terpaksa berkelana jauh seorang diri selama sepuluh tahun di perantauan, di negara yang senantiasa dalam zon perang, sudah tentu ianya merupakan situasi yang amat mencabar. Tambah-tambah lagi hampir terkena bom.Peristiwa tersebut ada dalam berita, tetapi tiada dalam rekod. Tidak banyak gambar mengenainya."Waktu itu ana bersama Ustaz Fadzil, Ustaz Hassan dan Ustaz Hashim berada di lobi hotel. Kami berbual-bual sementara menunggu Ustaz Azahari yang masih berada di bilik untuk turut bersarapan bersama. Memandangkan Ustaz Azhari agak lambat turun, Ustaz Fadzil mengajak kami untuk pergi ke coffee house yang berada bersebelahan dengan lobi."Lalu kami bergerak ke coffee house. Masih terdapat beberapa orang di situ. Tidak semena-mena selepas lima minit sahaja kami beredar, terdengar suatu dentuman kuat menggegarkan seluruh bangunan dan menyebabkan hotel black-out," cerita beliau.Waktu itu semua terkejut dan kelam kabut katanya. Ustaz Fadzil dan semua yang berada di dalam hotel, dibawa melalui suatu terowong khas yang dibina di bawah hotel. Peluru berpandu Amerika menyebabkan seluruh kawasan lobi hotel musnah, hancur menjadi kawah besar."Kami jadi terpingga-pingga, Ustaz Fadzil bimbang tentang Ustaz Azahari, hanya beliau seorang yang tiada bersama kami."Dalam keadaan yang huru-hara itu, tiba-tiba kelibat Ustaz Azahari muncul. Beliau turun melalui tangga kerana hotel sudah black-out. Badannya basah kuyup kerana berpeluh-peluh turun ke bawah," ujar Ustaz Latiff.Ketika diperiksa badannya, Ustaz Azahari memberitahu pengawal keselamatan, beliau tidak cedera. Tetapi mereka tidak berpuas hati. Dalam gelap gelita badan Ustaz Azahari basah seperti orang cedera (berdarah)."Lalu mereka bawa Ustaz Azahari ke hospital dan ketika itulah Saddam Hussein datang melawat," sambungnya.Seronok mendengar cerita Ustaz Latiff. Banyak nostalgia menarik mengenai almarhum Ustaz Fadzil, Ustaz Hassan, Ustaz Azahari yang kita kasihi, tidak sempat diungkap dalam ruangan yang terhad sebegini.Apa pun anak kepada almarhum Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman ini adalah antara wakil rakyat termuda dalam PAS Kelantan.Selepas menamatkan pengajian di Iraq, Ustaz Latiff menyambung pengajian dalam bidang sarjana Tafsir al-Quran di Universiti Ahlul Bayt, Jordan.Beliau kembali ke tanah air dan bertanding kali pertama pada tahun 2004 di Dun Mengkebang, tetapi tewas tipis dengan majoriti 316. Pada tahun 2008, beliau bertanding semula dan berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti 1903.Selaku Ketua Pemuda, Ustaz Latiff bukan sahaja bertekad untuk mempertahankan kerusinya, malah bekerja keras menggerakkan seluruh pemuda Kelantan untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abbdul Aziz Nik Mat.