Oh! : 48,327 Calon UPSR 2010 Dapat Semua A

Oh! Krai Utara

Share
PUTRAJAYA: Seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini mendapat keputusan cemerlang (semua A).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

"Pencapaian keseluruhan calon UPSR 2010 meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN)," katanya pada pembentangan analisis keputusan UPSR di sini, Khamis.

Semua calon UPSR akan menerima keputusan mereka mulai pukul 10 pagi ini di sekolah masing-masing seluruh negara.

Bagaimanapun Abd Ghaffar berkata, peratusan calon yang mendapat minimum Gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.

"Pencapaian baik (Minimum C termasuk semua A) bagi calon UPSR tahun ini seramai 310,605 manakala di bawah tahap penguasaan minimum (semua D/3 atau kombinasi kedua-duanya) iaitu 16,334 orang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian calon cemerlang bandar dan luar bandar meningkat sekali gus merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang antara kedua-duanya iaitu 0.04 peratus.

"Pencapaian calon cemerlang bandar meningkat 0.35 peratus manakala calon cemerlang luar bandar 0.8 peratus," katanya.

Selain itu katanya, terdapat 1,270 calon istimewa menyaksikan pertambahan 184 orang berbanding tahun lalu dan daripada jumlah itu, 12 calon mendapat pencapaian cemerlang.

Walaupun bilangan calon istimewa yang mendapat pencapaian Cemerlang kurang seorang berbanding tahun lalu seramai 13 orang, namun Abd Ghaffar menjelaskan terdapat peningkatan 1.97 peratus bagi calon yang mendapat pencapaian Baik.

"GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 peratus," katanya.
Mengenai pretasi semua mata pelajaran, Bahasa Melayu Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) terdapat peningkatan signifikan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun menurun bagi Bahasa Melayu Penulisan sebanyak 8.9 peratus.

Abd Ghaffar berkata, prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK meningkat dengan mencatatkan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

"Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan Gred A menurun iaitu masing-masing 2.9 peratus dan 3.4 peratus.

"Namun prestasi Bahasa Inggeris di SJK mencatatkan peningkatan dalam GPMP iaitu 2.69 peratus pada tahun ini berbanding 2.8 peratus pada tahun lalu." katanya.

Beliau menambah, sukatan mata pelajaran Matematik dan Sains bagi SK dan SJK adalah sama dari segi kandungan.

"Peratusan calon yang mendapat Gred A bagi Matematik meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala Sains turut meningkat 1.7 peratus," katanya.
Read More - Oh! : 48,327 Calon UPSR 2010 Dapat Semua A

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...