Oh! Terharu! Pengorbanan dukung anak ke sekolah dibalas keputusan 7A

Oh! Krai Utara

Share

sinarharian
KOTA BAHRU - Keadaan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki sejak berumur setahun tidak menghalang seorang pelajar mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.Anis Adilah Amlaki, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab I di sini memperoleh 7A dan 1E dalam keputusan peperiksaan yang diumum hari ini.Dia meraih A dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Matematik, Sejarah, Geografi dan Sains, dan E untuk Kemahiran Hidup (Perdagangan) berikutan gagal mengambil kerja khusus atas faktor kesihatan.Bapa dan ibunya, Amlaki Jusoh, 41, pembantu tadbir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dan Che Jah Noh, 40, seorang suri rumah begitu terharu serta bersyukur dengan kejayaan cemerlang anak sulung mereka.Ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Restu, Kampung Telipot di sini, Anis Adilah melahirkan penghargaan kepada ibu bapanya atas kejayaan itu."Kesusahan ibu bapa yang terpaksa mendukung saya setiap hari ke sekolah berbaloi, dan saya begitu berterima kasih atas pengorbanan mereka selama ini," kata remaja itu yang tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).Anak pertama daripada empat beradik itu menghidap penyakit lumpuh berikutan demam panas dan terpaksa didukung ketika berulang-alik ke sekolah sejak sekolah rendah."Di sekolah, saya menggunakan kerusi roda berjentera (bateri) yang disediakan pihak HRPZII, dan di rumah, saya mengesot kerana kerusi roda ditinggalkan di sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.Menceritakan resepi kejayaannya, Anis Adilah berkata dia mengulang kaji pelajaran empat jam sehari di rumah selain mendapat tunjuk ajar guru dan ibu bapa.Sewaktu di sekolah rendah, dia mendapat 5A bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.Sementara itu, Ketua Penolong Kanan (Pentadbir) SMK Zainab I Wan Marina Wan Omar berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pelajaran mengenai status pelajar itu berhubung subjek Kemahiran Hidup kerana Anis Adilah sepatutnya dikecualikan daripada menduduki kerja khusus bagi pelajar OKU.Katanya dengan keputusan 7A 1E Anis Adilah, sekolah itu hanya mencatat kelulusan keseluruhan 99.54 peratus dalam peperiksaan itu. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...