Oh politik: Imam Muda ‘kena pulau' akibat mentua lantang!
Oh! Krai Utara
Akibatnya, Imam Muda Masjid As-Somadi, Rosli Abdul Latif, 31, meletakkan jawatannya Jun lalu kerana tidak tahan menanggung malu dipulaukan oleh mereka dan lebih tertekan lagi apabila dalam masjid juga tersebar surat layang mencaci mertuanya, Abdullah Saamah (Tok Guru Haji Lah) merupakan guru pondok Geting.
Bahkan, di masjid itu juga pernah berlaku solat dua Imam apabila ada segelintir jemaah cuba memulaukan Rosli apabila dia menjadi imam untuk mengimani solat berjemaah.
Berikutan itu, penduduk di Kampung Geting meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) campur tangan menangani masalah di Masjid As-Somadi ini kerana jelas Rosli menjadi mangsa keadaan.
Wakil seorang penduduk, Mohd Zulkifli Mat Nawi, 36, berkata, AJK masjid itu semuanya ahli Pas dan sepatutnya soal Imam Muda jangan dilibatkan dengan politik.
Menurutnya, tersebarnya surat layang dalam masjid dan ada juga surat layang berbau ugutan memang satu penganiayaan kepada Imam Muda itu.
“Gara-gara mertuanya, dia yang menjadi mangsa keadaan sehingga dipulaukan AJK masjid.
“Saya juga agak terkilan kerana AJK masjid memaksa Imam Muda meletak jawatan pada mesyuarat AJK masjid 17 Jun lalu,” katanya daripada Kampung Surau Lama Geting.
Manakala bagi Sanusi Yaakob, 33, berkata, jika sebelum ini tugas di masjid seperti membaca khutbah bergilir-gilir antara Imam Muda dengan Imam Tua, tetapi selepas Imam Muda dipulaukan, semua tugas dipikul oleh Imam Tua, Deraman Muhammad.
“Mana-mana ustaz yang sering mengajar di masjid ini ada dipecat sekiranya tidak sebulu dengan AJK masjid.
“Mereka memang tidak dibenarkan datang mengajar lagi, terdapat dua tiga ustaz sudah tidak nampak muka di masjid ini, ada seorang ustaz tu memang anak murid Tok Guru Haji Lah, dia juga dah tak nampak muka di masjid ini” katanya.
Masjid As-Somadi Mukim Geting setiap kali solat Jumaat dihadiri kira-kira hampir 3,000 jemaah melibatkan penduduk dari Kampung Geting, Kampung Raja, Kampung Surau Lama dan Kampung Tebing.-SH
0 ulasan:
Catat Ulasan