Oh Artis: Hattan sertai misi Gaza
Oh! Krai Utara
Misi keamanan tersebut merupakan siri pertama dan mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Luar Negeri serta kerjasama daripada Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).
Hattan yang juga artis pertama menyertai program seumpama ini berkata, hasratnya untuk sama-sama ke Palestin bukanlah untuk meraih publisiti sebaliknya untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di sana.
“Sudah tiba masanya saya berbuat sesuatu untuk membantu mereka. Sebagai langkah pertama, saya akan meminta bantuan rakan-rakan artis di sini untuk menyumbangkan pakaian hari raya memandangkan kami akan ke sana pada Ramadan nanti.
“Selain pakaian, bantuan lain juga amatlah dialu-alukan. Inilah tanggungjawab saya sebagai artis dan saya berharap akan mendapat kerjasama yang baik daripada rakan artis yang lain,” katanya.
Hattan juga melahirkan rasa bangga apabila dapat turut serta dalam misi keamanan ini memandangkan perjuangannya dalam membantu mangsa di Palestin bermula sejak lapan tahun yang lalu dengan menjual album khas untuk mangsa di Palestin.
“Saya sudah lama berjuang untuk mereka. Saya ada terlibat dalam persembahan pentas bagi mengutip dana serta menerbitkan album dan hasil jualan disalurkan kepada mangsa Palestin.
“Saya tidak pernah berhenti untuk membantu mereka walaupun sedar tidak banyak yang dapat saya berikan. Album yang saya buat sekitar lapan tahun lalu tetap saya jual dan kali ini tidak meletakkan sebarang harga.
“Harganya terpulang kepada sesiapa yang mahu membelinya dan wang itu akan disalurkan terus kepada misi bantuan ke Gaza ini. Saya berharap usaha saya ini akan dapat membantu sedikit sebanyak untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, setibanya di sana, dia akan membantu pihak sukarelawan memberi semangat kepada mangsa.
“Saya memang tidak tahu macam mana kerja-kerja menyelamat tapi sebagai sukarelawan, saya akan gunakan segala tenaga yang ada untuk membantu mereka.
“Saya amat berterima kasih dan bangga kepada Kelab Putera 1Malaysia dengan mengadakan misi sebegini. Saya rasakan sudah tiba masanya, saya bangkit dan sertai mereka untuk memberi bantuan.
“Saya berharap masyarakat Malaysia tidak akan putus dalam memberi bantuan sama ada daripada segi kewangan ataupun doa,” katanya yang bakal berangkat pada 7 Ogos depan bersama sekumpulan sukarelawan lain.-SH
0 ulasan:
Catat Ulasan