Oh! Politik:Kebenaran politik: Baca fikiran Dinsman - Rahman Shaari

Oh! Krai Utara

Share
Pada Jumaat lalu, saya membaca tulisan Dinsman dalam sebuah akhbar tabloid yang bertajuk “Aduhai Lemah dan Malangnya Intelektual Kita!”. Inti tulisan itu ialah persoalan ‘berkata benar’ dan ‘kebenaran’. Menurut Dinsman, dalam satu majlis diskusi buku di Kota Bharu, seseorang telah bertanya kepada barisan panel: Kalau kita berkata benar dengan pemerintah hari ini, bagaimana pula nantinya kalau pemerintah bertukar? 

Bertolak daripada soalan itu, kita dapat membayangkan jawapan yang berbagai-bagai. Orang yang menyoal mahukan jawapan tentang hakikat kebenaran. Adakah kebenaran akan bertukar-tukar bentuk dan isi? 

Dinsman yang berperanan sebagai salah seorang ahli panel, bertegas bahawa kebenaran ialah kebenaran. Kebenaran, kata Dinsman lagi, tidak ada hubungan dengan kerajaan yang memerintah. 

Terlalu banyak perkara yang timbul daripada truisme yang dikemukakan Dinsman. Memang kata-katanya betul, tetapi apabila dikaitkan dengan kerajaan atau pemerintah, kebenaran akan dicalitkan dengan pelbagai janji dan propaganda. Apabila dikaitkan dengan pembangkang pula, kebenaran akan dibisingkan dengan janji-janji lain pula, disertai propaganda yang berbeza. 

Tidaklah perlu saya kemukakan hujah yang panjang lebar, kerana pembaca pasti tahu makna yang seterusnya. Selama ini kita mendapati pihak kerajaan berbuat kebajikan yang kira-kira sama, tidak terlalu berbeza, dari zaman seorang Perdana Menteri ke zaman Perdana Menteri yang lain. 

Kadar kebajikan memanglah berbeza, tetapi maksud dan arahnya sama. Kadar kebijaksanaan dan keikhlasan Perdana Menteri hal lain pula. Kerajaan menjaga ekonomi, agama, bangsa, dan secara amnya kerajaan menjaga kepentingan keseluruhan rakyat. 

Itulah kebenaran pihak kerajaan. Kita tidak membicarakan kebenaran mutlak di peringkat tinggi (faham agama), kerana cetusan soalan di majlis Dinsman itu bukannya bertolak daripada bicara religious. 

Saya teringat akan kata-kata seorang sasterawan negara: Idea dan pemikiran penulis mestilah bercanggahan dengan pemerintah! Saya tidak terpegun, tetapi terdorong untuk berfikir sejenak setelah mendengar kata-kata itu. 

Saya tidak cenderung berbahas dengannya, kerana di Indonesia W S Rendra yang terkenal itu memang tidak sejalan dengan pemerintah, dan di Malaysia – pada masa lampau – Kassim Ahmad menjadi hebat kerana sikap yang sama. Ertinya, ada kebenaran pada kenyataan figuratif sasterawan negara itu; dan, kenyataan figuratif tidak mungkin memuatkan kebenaran hakiki. 

Kebenaran daripada kenyataan figuratif sedemikian berperanan menaikkan nama sasterawan itu sendiri. Jika seseorang penulis karya sastera sentiasa menghasilkan karya yang sejalan dengan pemerintah, karyanya akan dianggap karya bodek (bootlick). Kita boleh bertanya: Adakah anggapan bahawa penyair kita kuat membodek merupakan satu kebenaran? Jawapannya akan saya tunjukkan di bawah ini. 

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan menteri, persembahan puisi yang menyebelahi kerajaan diterima baik. Beliau menghadiri persembahan deklamasi oleh sejumlah pensyarah, baik di hotel-hotel, mahupun di dewan-dewan besar di universiti. Beliau memberikan tahniah kepada pensyarah berkenaan, yang juga deklamator dan sekaligus merupakan penyair. 

Apabila Anwar berada di luar kerajaan, iaitu apabila beliau menjadi pembangkang, beliau sampai hati menyebutkan kata-kata begini: Our academics write poetry to bootlick. (Sunday Star, 8 April 2007). 

Walaupun kenyataan itu umum, rujukannya tidaklah terlalu meluas. Penyair daripada kalangan ahli akademik itu telah tawar hati, biarpun tidak sakit hati. Dahulu diberi tahniah, kini dianggap kaki bootlick, padahal sajak yang dideklamasikan lebih kurang sama saja. 

Penyair itu memilih menjauhi Anwar mendahului tindakan intelektual Dr Chandra Muzaffar, dan Ahli Parlimen Zulkifli Noordin. Kita ketepikan perasaan, baik tawar hati atau sakit hati. Kita pergi kepada isu. 

Contoh yang saya kemukakan di atas membuktikan bahawa kebenaran dilihat sebagai ‘makhluk abstrak’ yang selalu mengikut kedudukan, sama ada di pihak pembangkang atau pun di pihak pemerintah. Apa yang benar ketika tokoh berada di pihak pemerintah akan bertukar menjadi hina bodek (bootlicking) apabila tokoh itu berpindah ke pihak pembangkang. Jadi, soalan pada majlis Dinsman itu ada kekuatannya, bukan satu soalan yang terhasil daripada kekeliruan! Jawapan Dinsman bahawa yang benar tetap benar juga dapat diterima baik, bersyaratkan jawapan itu dijauhkan daripada arena politik yang sejajar dengan arena pertarungan syaitan. 

Dinsman juga menyentuh pensyarah universiti. Pada perkiraan Dinsman, pandangannya betul kerana beliau mengesan adanya ahli akademik yang tidak bersikap yang sepatutnya. Dinsman tiba pada kesimpulan bahawa pensyarah-pensyarah takut hendak berbuat sesuatu yang bertentangan dengan kemahuan pimpinan kerajaan BN. Hal ini, jika benar, perlu dicari puncanya. Jika salah, biarkanlah. 

Saya mempunyai pandangan khas tentang hal ini. Ketika Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan BN, beliau tidak menggalakkan pensyarah dan mahasiswa melaksanakan kegiatan menentang kerajaan. Adakah pemerintahan Tun Dr Mahathir ketika itu dipenuhi kebenaran, maka Anwar tidak mengajarkan perlawanan di kalangan pensyarah dan mahasiswa? ('Pengajaran perlawanan’ yang saya maksudkan ini hendaklah difahami secara luas, tidak semestinya bersifat langsung). 

Akibat daripada sikap sentiasa pasif yang ditunjukkan oleh Anwar ketika itu, mahasiswa progresif kehilangan arah, lalu mengambil perjuangan halal-haram! Antara lain, mahasiswa pejuang halal-haram itu menentang kegiatan hiburan, misalnya menghalang penyanyi tanah air membuat pertunjukan di dewan besar universiti. 

Tentulah perjuangan halal-haram amat berbeza daripada perjuangan membela golongan tertindas yang dilaksanakan oleh Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali dalam dekad 1970-an dulu. 

Pada masa itu kita dengari suara sosialisme dan progresif yang penuh kecerdikan, keberanian dan keceriaan. Dinsman ketika itu menghasilkan drama ‘Jebat’ kerana dorongan perjuangan yang memberikan manfaat kepada rakyat tertindas. 

Dr Syed Husin Ali, Abdul Rahman Embong dan Ishak Shaari sentiasa cergas memberikan pandangan progresif yang membijaksanakan mahasiswa dan orang lain. Sekarang, semua itu hanyalah nostalgia. 

Dalam menanggapi persoalan ini dalam konteks semasa, saya fikir, pandangan Datuk Mior Kamarul Shahid dalam akhbar harian, 15 Mei, elok diperkirakan. Kita tidak perlu pergi jauh bagi memahaminya. 

Istilah ‘membela’ dan ‘menindas’ amat berupaya berkisah tentang kebenaran dalam politik. Kata pemerintah, mereka sentiasa membela rakyat. Kata pembangkang, pemerintah sentiasa menindas rakyat. 

Pembangkang berjanji akan membela rakyat jika mereka memerintah, tetapi ingat, ketika itu kerajaan yang jatuh pula akan menjadi pembangkang, lalu mengatakan kerajaan baru itu menindas rakyat. 

Perkara ini akan berulang-ulang, dan kita akan berasa bosan, melainkan kita sedar bahawa kebosanan ialah hakikat kehidupan. Dalam hal ini mujurlah Dinsman telah membaca Myth of Sysiphus dan Waiting for Godot.- SH

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...