Remaja pintar berlagak Tuan Muda

Oh! Krai Utara

Share
KUANTAN - Kehadiran seorang remaja yang mendakwa anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang dengan gelaran Tuan Muda di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Hijrah, Penor dan Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating, dekat sini, diraikan dengan penuh penghormatan. 

Berikutan statusnya, remaja pintar yang memperoleh keputusan 9A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 diberi penghormatan memakai pangkat kepada pelatih di Kem Cahaya Gemilang dan menghadiri Majlis Perasmian Penutup Kumpulan 1 di Kem PLKN Kampung Hijrah. 

Dia juga dilihat mengiringi ketibaan Ketua Pengarah JLKN di lapangan terbang bersama-sama Komandan Kem dan seorang Exco Kerajaan Negeri sebelum mengadakan lawatan ke rumah orang kurang upaya (OKU) di Kampung Hijrah. 

Identitinya bagaimanapun terbongkar ketika melawat Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating apabila seorang bekas rakan sekolahnya mendedahkan dia hanya remaja biasa dan tiada kaitan dengan kerabat diraja itu seperti yang didakwa. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, kerana penyamarannya itu, remaja berasal dari Bera dan menetap di Pekan itu ditahan polis kelmarin untuk disoal siasat ekoran satu laporan yang dibuat wakil istana, 8 April lalu. 

Menurutnya, remaja berusia 18 tahun itu ditahan di rumah salah seorang saudaranya dekat Pekan petang kelmarin sebelum direman sehingga 13 April depan untuk siasatan lanjut. 

“Hasil siasatan yang dijalankan, penyamaran remaja terbabit disahkan berlaku berdasarkan beberapa maklumat termasuk gambar-gambar yang diperoleh daripada pihak kem PLKN terlibat. 

“Polis juga mendapati, remaja itu menggunakan dokumen istana termasuk kepala surat Tengku Puan Pahang yang dipercayai palsu untuk memaklumkan lawatannya ke semua kem PLKN di negeri ini kepada Pejabat kem Kampung Hijrah dan Ketua Pengarah JLKN sendiri,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Zulkifli berkata, remaja itu juga turut memakai dua pakaian rasmi PLKN lengkap tertera nama dan gelarannya menggunakan tulisan kuning dalam penyamarannya itu. 

“Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung motif penyamaran remaja terbabit selain mengenal pasti sekiranya ada individu lain yang terlibat. 

“Polis juga sedang mengenal pasti berhubung dua pakaian yang dirampas sama ada seragam itu diberikan pihak PLKN atau diperoleh sendiri dari sumber lain,” katanya. 

Beliau berkata, polis memandang serius kes terbabit kerana ia melibatkan kerabat diraja selain melibatkan kenamaan lain manakala kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan - Sinar Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...