Penerimaan baik masyarakat tambah semangat
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Hampir setahun menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada Julai tahun lalu, Mohd Fauzi Abdullah bersyukur atas penerimaan baik yang ditunjukkan masyarakat setempat.
Beliau berkata, antara yang diterima baik rakyat ialah corak kepimpinan dibawanya seperti selalu turun padang termasuk minum petang di kedai kopi bagi menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.
Menurutnya, terharu dengan sambutan diberikan rakyat, beliau berazam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tanpa mengira kaum atau fahaman politik.
“Antara masalah rakyat yang akan diberikan lebih perhatian pada tahun ini, adalah masalah jalan kampung dan jalan pertanian yang masih belum sempurna di sekitar Manek Urai,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Markas Maj-lis Tindakan DUN (MTD) Manek Urai, dekat sini, semalam.
Mohd Fauzi berkata, aktiviti kemasyarakatan lain termasuk program penyampaian sumbangan daripada pelbagai skim bantuan di bawah Kerajaan Negeri seperti Takaful Kifalah (warga emas), armalah (ibu tunggal), anak yatim dan tabung pesakit kronik.
“Program penyampaian skim bantuan ini adalah aktiviti berterusan yang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya yang menewaskan calon Barisan Nasional yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, 14 Julai tahun lalu.
Mengulas majlis itu, Mohd Fauzi berkata, program ramah mesra bertujuan mengeratkan lagi hubungannya dan barisan kepimpinan MTD Manek Urai dengan rakyat itu adalah yang pertama pada tahun ini dan kali kedua sejak dia menjadi wakil rakyat.
Katanya, seperti majlis kali pertama yang diadakan sempena jamuan hari raya Aidilfitri lalu, beliau gembira kerana program kali ini juga mendapat sambutan baik penduduk apabila dihadiri kira-kira 1,000 tetamu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Turut kelihatan hadir pada majlis itu ADUN Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dan Setiausaha Kerja Setiausaha Kerja Pejabat Ahli Parlimen Kuala Krai, Zamri Jusoh.
0 ulasan:
Catat Ulasan