Jangan pertikai hak Sultan ::Prof.Aziz Bari

Oh! Krai Utara

Share
SHAH ALAM – Tindakan menyerahkan memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan Baginda agar darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada dua wakil rakyat pembangkang ditarik balik, dilihat seperti mempertikaikan kuasa dan hak Sultan. 

Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, gelaran dan anugerah adalah pengiktirafan daripada Sultan yang diberikan kepada individu tertentu atas jasa dan sumbangan seseorang terhadap negara. 

Menurutnya, dari segi prinsip dan hak seseorang individu yang diberi penganugerahan, sekiranya mereka terlibat dengan jenayah yang dapat dibuktikan dengan kukuh, kuasa menarik gelaran dan anugerah itu terletak kepada Sultan dan majlis penasihat istana. 

“Tidak dinafikan Sultan mempu-nyai kuasa menarik balik, tetapi baginda juga mempunyai penasihat yang akan menyiasat perkara tersebut agar keputusannya telus dan tidak dipengaruhi unsur politik. 

“Dalam senario sekarang, ia seperti satu usaha yang tidak baik kerana adakah wakil rakyat BN sahaja yang boleh mendapat penghargaan?” 

“Mereka boleh berikan pelbagai alasan untuk menyokong tindakan mereka, tetapi tidakkah mereka terfikir tindakan itu juga seperti mempertikaikan keputusan Sultan kerana darjah kebesaran itu dianugerahkan Sultan?,” katanya kepada :Sinar Harian,: semalam. 

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff berharap tiada spekulasi mengenai perkara itu kerana ia melibatkan kuasa Sultan dan institusi istana. 

“Buat masa ini, kita lihat sahaja keputusannya,” katanya. 

Kelmarin, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) serta badan bukan kerajaan (NGO) Perak menyerahkan memorandum kepada Sultan Perak meminta darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Pengerusi DAP Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ngeh Koo Ham dan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ditarik balik. 

Memorandum itu diserahkan atas alasan pembangkang menderhaka kepada Sultan Perak apabila mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...