Pasaraya Terbakar, Semua mangsa nyenyak tidur
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Seramai 17 orang hilang tempat tinggal manakala lima lagi hilang pekerjaan apabila sebuah pasar raya, lima premis perniagaan dan dua rumah kediaman musnah dalam kebakaran di Guchil 6, dekat sini, awal pagi semalam.
Penolong Penguasa Bomba, Che Mohd Fauzi Che Omar berkata, premis perniagaan yang musnah ialah kedai peralatan pengantin, salon rambut, kedai menjual burung peliharaan dan makanan ternakan, kedai membaiki dan menjual alat ganti motosikal serta setor barang pasar raya terbabit.
Menurutnya, kebakaran kira-kira jam 4.30 pagi berlaku ketika kesemua mangsa yang hilang tempat tinggal dalam kejadian itu sedang nyenyak tidur namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, kerugian dianggarkan kira-kira RM800,000 dan siasatan awal forensik bomba mendapati kebakaran yang dipercayai bermula dari pasar raya itu berpunca daripada litar pintas.
“Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai menerima panggilan kecemasan pada jam 4.32 pagi dan sampai di tempat kejadian pada jam 4.38 pagi bersama lapan anggota termasuk seorang pegawai dan dua jentera.
“Pada jam 4.40 pagi, Balai Bomba dan Penyelamat Machang menerima panggilan untuk membantu yang kemudian menghantar sebuah jentera dan tujuh anggota termasuk saya sendiri,” katanya yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Che Mohd Fauzi yang mengetuai operasi itu berkata, walaupun menghadapi masalah tekanan air yang rendah dan angin kencang, api dapat dikawal pada jam 5.20 pagi sebelum berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 2.30 petang.
Sementara itu, seorang pekerja yang juga saudara kepada pemilik pasar raya itu, Ng Jiunn Chyau, 26, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada rakannya yang tinggal berhampiran kira-kira jam 5 pagi.
Katanya, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada pemilik pasar raya yang tinggal bersebelahan rumahnya tetapi beliau tidak dapat datang kerana kurang sihat.
“Pasar raya ini mempunyai lima pekerja termasuk saya dan ketika kejadian tidak ada orang di dalam,” katanya yang ditemui :Sinar Harian: ketika menyelamatkan beberapa barangan yang masih elok di pasar raya berkenaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan