Pelajar pondok dilatih berdikari
Oh! Krai Utara
SUNGAI DURIAN – Selain menimba ilmu keagamaan di Pondok Sungai Durian, remaja yang belajar di situ juga diterapkan dengan nilai-nilai murni untuk saling bekerjasama di antara satu sama lain.
Penyelaras pondok itu, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, walaupun aktiviti pelajar dipenuhi jadual seharian, tetapi ia tidak menghalang untuk pihak pengurusan meluangkan masa sehari bagi menjayakan program membuat bubur Asyura tahun ini.:
Menurutnya, ia adalah acara tahunan yang diadakan untuk semua pelajar dan penghuni pondok berkenaan untuk sama-sama menjayakan aktiviti itu sebagai salah satu aktiviti meraikan Maal Hijrah tahun ini.
“Walaupun aktiviti ini kelihatan remeh bagi sesetengah orang tetapi kami di sini mengadakannya untuk memupuk semangat kerjasama di antara semua pelajar dan penghuni pondok.:
“Setiap tahun kami mengadakan program bubur asyura ini yang melibatkan semua kaum lelaki dan wanita pula membantu membuat persiapan awal iaitu bahan untuk memasaknya,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian :semalam.
Katanya, program itu akan melatih diri pelajar untuk sama-sama berganding bahu mengerjakan sesuatu tugasan dalam apa juga keadaan dan menghayati erti kerjasama di antara mereka.
Beliau berkata, tahun ini mereka menyediakan 13 kawah bubur Asyura yang dikendalikan sendiri oleh semua pelajar dan warga pondok termasuk golongan warga tua yang belajar di situ.
“Tahun ini kami sediakan 13 kawah bubur Asyura yang dikendalikan sendiri oleh pelajar sejak awal pagi. Kami harapkan nilai murni dan unsur kerjasama dalam menjayakan program ini dapat dihayati mereka.
“Kerjasama begini perlu diperkukuhkan dalam diri mereka supaya nilai itu tidak luntur untuk dipraktikkan pada masa depan walau di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Sinar Harian: difahamkan, seramai 200 pelajar termasuk warga tua menjayakan program itu yang bermula sejak awal pagi sehingga petang dan keseluruhan pelajar serta penghuni pondok ini berjumlah 500 orang.
Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian juga dikenali sebagai Pondok Haji Abdul Rahman oleh penduduk setempat diasaskan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman (1923M-1988M) secara rasminya pada 4 Jun 1958 di Kam-pung Sungai Durian, Kuala Krai. - www.sinarharian.com.my
0 ulasan:
Catat Ulasan