Layan pekerja asing dengan perikemanusiaan - CAP

Oh! Krai Utara

Share
Isu perbahasan mengenai bagaimana untuk mengendalikan pekerja pembantu rumah asing kini menjadi semakin hangat. Ini berikutan pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, majikan dikehendaki supaya memberikan pembantu rumah asing mereka cuti sehari. 

Apapun keputusan yang dibuat berhubung pembantu asing mestilah adil dan penuh perikemanusiaan. Jika kita tidak dapat melayan pekerja asing dengan sempurna, adalah lebih baik bagi negara ini tidak menggunakan khidmat mereka daripada mendera mereka yang berlaku secara berulang kali. 

Tanpa sebarang statistik yang tepat, kita tidak boleh mengandaikan bahawa kes penderaan di rumah hanyalah satu pengecualian. 

Tidak seperti pekerja dalam sektor pembuatan dan peladangan, pembantu rumah asing boleh berada dalam pengasingan - tanpa kawan, dan tiada ruang untuk berinteraksi dengan orang ramai malah apabila mereka mahu mengadu mengenai keadaan pekerjaan mereka.

Pergantungan ke atas pembantu rumah asing mestilah diteliti semula. Bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai pembantu rumah asing menguruskannya? Kini tiba masanya negara kita mempertimbangkan dengan serius untuk berubah daripada tanggapan "situasi tiada pilihan" dan mula melihat kepada penyelesaian tempatan. 

Ibu bapa boleh meneliti kos yang terlibat apabila keduanya keluar bekerja - wang yang dibelanjakan ke atas pengangkutan, makanan, dan kos lain serta beribu ringgit yang dibelanjakan untuk mengambil dan membayar gaji pembantu rumah asing. 

Dalam jangka panjang, adalah lebih ekonomi bagi salah seorang daripada ibu bapa untuk berada di rumah untuk menjaga anak atau orang tua mereka yang sudah berusia. Terutama sekali, kanak-kanak akan mendapat banyak manfaat daripada ibu bapa yang membesarkan mereka sendiri terutama sekali pada peringkat awal. Ahli keluarga yang besar juga turut boleh membantu. 

Penduduk tempatan juga boleh dilatih dan digalakkan untuk menjadi pembantu rumah, terutama sekali bagi mereka yang pada masa ini masih lagi mengganggur. Rancangan ini sudahpun dicadangkan beberapa tahun yang lalu. Mereka tidak perlu disediakan dengan kemudahan tempat tinggl memandangkan pekerja ini boleh kembali ke rumah mereka setiap hari. 

Pada masa yang sama, kakitangan Kementerian Sumber Manusia, yang dipertanggungjawabkan dengan perkara ini, boleh mengunjungi ke rumah dan menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap majikan pembantu rumah asing untuk memastikan hak pekerja dipatuhi selaras dengan syarat jam bekerja yang munasabah, rehat yang mencukupi, bayaran gaji asas dan lebih masa serta faedah lain yang sepatutnya diterima oleh pekerja. 

Jika pekerja didapati benar-benar tidak sesuai, langkah perlu diambil untuk memperbaiki situasi tanpa sebarang penderaan. 

Bergantung kepada ejen sepenuhnya untuk memeriksa kebajikan pekerja bukanlah satu penyelesaian sepenuhnya. Agensi yang mendedahkan beberapa kes penderaan cenderung dilihat negatif oleh bakal majikan pembantu rumah. Ini menyebabkan kes penderaan tidak didedahkan. 

Pada umumnya, pengambilan pekerja asing melalui ejen swasta perlu dihapuskan. Sebagai ganti, pengambilan boleh dibuat melalui sistem 'Kerajaan kepada Kerajaan' - di mana proses itu dilakukan secara terus melalui kawalan kerajaan negara berkenaan. 

Ini akan memastikan kawalan yang lebih ketat dan melindungi pekerja daripada diskriminasi atau dieksploitasi. Langkah ini juga untuk memastikan pengambilan adalah berdasarkan keperluan sebenar.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

sumber - Malaysia Kini

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...