Wibawa Nik Aziz yakinkan DAP kepada PAS:Ngeh Khoo Ham
Oh! Krai Utara
"Saya bersyukur kepada Allah kerana parti PAS diterima oleh orang bukan Islam. PAS negeri tidak lagi menjemput saya dalam program parti, tapi Ngeh Khoo Ham...pemimpin DAP yang jemput saya sama-sama perkukuh Pakatan Rakyat di Perak."
Demikian kata Nik Aziz ketika memberikan ucapan di majlis penutup konvensyen Pakatan Rakyat Perak.
Dalam nada berjenaka, Nik Aziz melahirkan rasa terkejut kerana pemimpin PAS tidak lagi menjemputnya, disebabkan beliau menyokong Pakatan Rakyat.
Dalam ucapan perasmian itu juga, Nik Aziz mengajak semua pemimpin parti-parti peringkat negeri menjadikan parti masing-masing berusaha mengenal Pencipta dunia ini, iaitu Allah.
"Sebelum (Allah) mencipta manusia, bumi ini telah ada. Kalau Allah cipta dulu manusia baru cipta bumi, di mana manusia nak tinggal...dia (manusia) kata dia cipta (dunia)...Umno tak kenal Pencipta, sebab itu dia rampas kerajaan...dia (Umno) anggap bumi ini dia punya," jelasnya.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana para pemimpin Pakatan Rakyat Perak berusaha untuk saling mengenali antara satu sama lain.
"Begitu juga manusia, Allah cipta tak sama muka...supaya kenal-mengenal...saya jadi Melayu kebetulan (dan) Ngeh Khor Ham jadi Cina kebetulan sebab itu rahmat."
"Kalau Allah jadikan manusia sama semua muka macam (seperti) selipar Jepun, susah nak kenal mana satu Nik Aziz dan Ngeh Kor Ham," jenaka Nik Aziz lagi.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menjelaskan tohmahan Umno kononnya budaya membaca ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebagai suatu penghinaan kepada Islam.
"Nabi pun mengutus surat pada semua pemimpin kerajaan bukan Islam, Raja Najasyi di Habsyah, Kaisar di Parsi, Heracleus di Rom, Nabi mula dengan tulis ayat al-Quran."
"Nabi tulis untuk pemimpin bukan Islam baca, bukan Nabi tulis: jangan baca ayat al-Quran ini sebab nanti hina Islam. Pemimpin Umno bodoh agama dan tak suka ikut Nabi," tegas Nik Aziz lagi.
Tegas Nik Aziz lagi, perjuangan PAS berdasarkan ajaran Islam, bukannya politik perkauman Melayu sebagaimana yang diamalkan Umno.
Jadi, beliau mengajak masyarakat bukan Islam mengenali Islam sebelum mengenali perjuangan PAS di Malaysia.
Ngeh Khoo Ham yang berucap sebelumnya mengakui bahawa DAP dan beliau sendiri sebelum ini percaya bahawa PAS adalah parti ekstrem, disebabkan terperdaya dengan propaganda Umno.
"Dulu saya memang ingat PAS (sebagai) parti ekstremis agama, fundamantelis dan tidak suka orang Cina (dan) dan bukan Islam. Itu semua sebelum kenal Tok Guru dan Hj. Nizar lah," jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak menyuarakan rasa kagum dengan kepimpinan amanah Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana bersabar dan terus mempertahankan mandat rakyat, walaupun selepas Umno merampas kerajaan negeri.
Katanya lagi, kewibawaan Nizar menyebabkan majoriti rakyat terus bersama Pakatan Rakyat, walaupun beberapa Adun Pakaran Rakyat mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.
Beliau juga berharap hubungan antara PAS, PKR dan DAP di Perak kekal kukuh, walaupun masing-msing mempunyai beberapa perbezaan dari segi ideologi kepartian.
Turut menyertai majlis perasmian penutup Nik Aziz itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Mustafa Kamil Ayub, Speaker DUN V. Sivakumar dan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Meng,
Dipercayai kekaguman para pemimpin Pakatan Rakyat Perak terhadap peribadi Nik Aziz kerana Mursyidul Am PAS itu kebelakangan ini tegas mempertahankan gagasan Pakatan Rakyat dari diperdaya oleh Umno.
Ianya sekaligus menjadikan Nik Aziz bukan sahaja berwibawa dalam kalangan ahli-ahli PAS, malah mula dikagumi oleh para pemimpin Pakatan Rakyat sendiri.
0 ulasan:
Catat Ulasan