Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra lahirkan kebimbangan kadar jenayah meningkat

Oh! Krai Utara

Share Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra melahirkan kebimbangan peningkatan isu gejala sosial dan jenayah di negeri ini sehingga meletakkan Kelantan di tempat ketujuh berbanding negeri lain.
Sehubungan itu baginda bertitah, tindakan dilakukan segera bagi menangani masalah berkenaan.
Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, masalah penagihan dadah bukan sahaja berlaku di kawasan bandar tetapi mula menular ke kawasan pedalaman yang turut melibatkan golongan bawah umur.
“Beta ingin menarik perhatian mengenai peningkatan isu gejala sosial dan jenayah yang semakin membimbangkan di negeri ini. Isu gejala sosial yang sering didengar seperti ragut, rompak, penyalahgunaan dadah, rogol, lepak, dan sebagainya sering terpapar di dada akhbar tempatan.
“Beta difahamkan bahawa dari tahun 2004 hingga akhir 2008, Kelantan didapati berada di tempat ketujuh berbanding di negeri-negeri lain.
“Masalah penagihan dadah bukan sahaja berlaku di kawasan bandar malah telah menular ke kawasan pedalaman yang melibatkan ramai belia dan remaja. Paling membimbangkan ialah gejala sosial ini sudah mula merebak kepada remaja bawah umur,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian persidangan ketiga (Belanjawan) penggal kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim di sini, semalam.
Baginda bertitah, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, badan sukarela, badan bukan kerajaan, individu, masyarakat dan ibu bapa digesa mengambil langkah yang lebih proaktif dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak bagi menangani masalah ini.
“Kita hendaklah memandang serius masalah ini kerana ia diibaratkan seperti virus, yang jika tidak dicegah akan menular dan merosakkan generasi akan datang,” titah baginda.
Sebelum majlis perasmian pembukaan bermula, Mohd Fauzi Abdullah (Pas) mengangkat sumpah sebagai anggota dewan yang baru di hadapan Tengku Muhammad Faris Petra.
Mohd Fauzi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Manik Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai lepas.
Pada pilihan raya kecil itu, Mohd Fauzi, 50, mengalahkan calon Barisan Nasional Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan majoriti 65 undi.
Persidangan dewan bersambung hari ini (esok) dan akan berakhir Rabu depan. -sinar harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...