KAUNSELING STOMA DARI ASPEK AGAMA
Pada hari selasa 13 Oktober 2009 Jabatan Bedah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu telah menganjur kursus PENJAGAAN STOMA.
Abu Anas telah diberi tajuk KAUNSELING STOMA DARI ASPEK AGAMA kepada paramedik (kakitangan) yang terlibat dengan stoma juga pembedahan.
Stoma ialah: Penyakit yang menghalang keluar najis dari jalan asalnya kemudian doktor membuat jalan lain untuk mengeluarkan najis dengan menebuk lubang pada mana-mana bahagian badan yang sesuai pada pendapat doktor seperti diperut, leher dan lain-lain. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang stoma sila cari dalam internet.
Terima kasih kepada Akhi Dr. Zaidi dan Dr. Ahmad Shanwani pakar bedah di HRPZII yang telah memberi peluang kepada ana mengenali secara dekat STOMA ini dan berkongsi maklumat yang dibincangkan oleh para ulama’ tentang hukumnya.
Sewaktu menyediakan bahan maklumat yang akan disampaikan ana teringat kepada satu tajuk yang telah dibahaskan dalam tesis (Risalah) MA yang ana tahqiq, iaitu kitab “Al-Matlab Al-‘Aali” karangan Ibnu Ar-Rif’ah. Syeikh telah membawa teks kitab Al-Wasit karangan Imam al-Ghazali yang disyarahnya itu.
Imam al-Ghazali (yang meninggal dunia pada tahun 505H) telah membahaskan tajuk ini (stoma) dalam [Al-Wasit]:
فرع : لو انفتحت ثقبة تحت المعدة وانسد المسلك المعتاد، وخرجت منها النجاسة المعتادة انتقض الطهر؛ لأنه في معنى المنصوص.
ولو كان السبيل المعتاد منفتحا، أو كان السبيل منسداً، ولكن الثقبة فوق المعدة، فقولان. منشأهما التردد في أنه [هل هو] في معناه أم لا؟.
“Sekiranya ditebuk lubang di bawah usus besar ( bawah pusat), jalan asalnya tersumbat, keluar najis biasa melalui jalan yang ditebuk, maka batal wudhu’.
Sekirannya jalan biasa terbuka ataupun sudah tertutup, tetapi tebukan di atas maidah (pusat), ada dua pandangan ulama’ ”.
Pertama: Tidak batal wudhu’ kerana dikiaskan kepada muntah.
Pertama: Tidak batal wudhu’ kerana dikiaskan kepada muntah.
Kedua: Batal memandangkan benda yang keluar itu najis.
Berhubung dengan isu ini, ulama’ kita juga tidak ketinggalan membincangkan tentang isu stoma ini. Pada 6-8 September 2007, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke -79, telah membuat keputusan:
[Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi]
i-Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis.
Oleh itu mereka tidak perlu mengosongkan atau membersihkan beg itu setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat.
ii- Wudhu’ yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardu sehingga wudhu’ tersebut terbatal.
Hujah-Hujah:
i) Masalah Kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl (سلس البول) kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh diqiaskan kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl (kencing berterusan).
ii) Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengelami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan dharurat yang tidak terikat dengan taklif syara’ dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.
iii) Pesakit-pesaki kolostomi dibolehkan mengambil sekali wudhu’ untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wudhu’ tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wudhu’ ia adalah disunatkan.
iv) Dalam keadaan dharurat seperti masalah yang dihadapi oleh pesakit kolostomi, mereka tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Kaedah terbaik setelah dipertimbangkan semua pandangan mazhab perlu diputuskan supaya tidak menyusahkan pesakit untuk melaksanakan ibadah.
[Sumber: Kertas kerja Yang dibentangkan oleh Ybhg. Dato’ Hj Wan Mohamad (Ketua Pengarah JAKIM) dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25. Musim Haji 1430 di Persada Johor. Pada 3-5 April 2009]
Akhirnya sama-samalah kita berdoa moga dilindungkan Allah SWT dari segala bala dan penyakit.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ
وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ.
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan, daripada terjejasnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bencana yang tidak disangka-sangka dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu”.
0 ulasan:
Catat Ulasan