Share
Lelaki kurus dan berambut lurus ini sudah lama mengidam untuk berdiri di puncak Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter itu.
Percubaan pertama Spiderman Perancis itu ialah pada tahun 1997. Bagaimanapun, dia gagal selepas ditahan pegawai keselamatan bangunan 88 tingkat itu di tingkat 60. Pada tahun 2007, dia mencuba lagi. Kali ini masih gagal. Dia ditahan, juga di tingkat 60.
Bagaimanapun, pada subuh Selasa lalu, Alain Robert, 47, dapat juga menyempurnakan dendamnya selama 12 tahun. Dia hanya mengambil masa selama 90 minit bermula pukul 6 pagi untuk memanjat bangunan keluli dan berkaca itu.
Spiderman Perancis ini dikesan berada di puncak Menara 2, Menara Berkembar Petronas, kira-kira pukul 8 pagi, sehari selepas Hari Kemerdekaan Malaysia ke-52.
Sebagai meraikan kejayaannya, Robert berdiri sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara di atas bebola kecil di hujung tiang di puncak Menara 2.
"Saya hanya menggunakan tangan untuk memanjat bulatan tiang menara itu sebelum sampai di puncak. "Itulah kemahiran saya yang mungkin tidak ada pada orang lain," katanya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya oleh kerajaan tempatan Perancis.
Dalam perjalanan turun, Robert mengetuk tingkap di aras 88 dan meminta agar dibenarkan masuk ke dalam bangunan berikutan cuaca sejuk.
"Saya datang ke Malaysia untuk menyudahkan sesuatu. Tahukah anda, memanjat Menara Berkembar Petronas sehingga ke puncaknya merupakan salah satu impian saya. "Mungkin saya melakukannya kerana motivasi, mungkin juga kerana kedegilan saya," ujarnya selepas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menceroboh bangunan kebanggaan rakyat Malaysia itu.
BIARPUN ditahan, dihumban ke lokap dan didenda RM2,000, Robert masih dapat tersenyum puas setelah impiannya tertunai.
ROBERT mengidam untuk menawan mercu tanda kebanggaan Malaysia ini sejak 12 tahun lalu. Sebelum ini, Robert pernah mendaki Bangunan Yayasan Sabah di Kota Kinabalu yang berketinggian 150 meter dan Hotel Melia Kuala Lumpur setinggi 80 meter pada tahun 1997. Pada tahun 2002, dia memanjat bangunan Komtar setinggi 232 meter di Pulau Pinang.
Robert sememangnya sudah lama menarik perhatian antarabangsa kerana aksi-aksi gilanya.
"Adakah tindakan Robert membuatkan dia menjadi lelaki 'gila' yang paling hebat dalam sejarah dunia?" tanya sebuah akhbar berpengaruh United Kingdom, The Independent.
Jawapannya adalah ya kerana dia telah mempamerkan kemahiran lelaki legenda yang berjalan di atas tali, Charles Blondin, dan semangat kembara Lelaki Di Atas Dawai, Philippe Petit - kedua-duanya rakyat Perancis.
Tambahan pula, apa yang lebih berbahaya berbanding memanjat hingga ketinggian 700 meter bangunan Burj Dubai yang sedang dalam pembinaan tanpa sebarang bantuan keselamatan?
Undian yang memihak kepada jawapan ini turut menyebut, 'Dia berkongsi nama timangan dengan salah seorang wira komik dunia - Spiderman.'
Bagaimanapun alasan untuk jawapan 'tidak' mengundang pandangan bahawa motivasi dirinya mengelirukan - sama ada dia melakukannya untuk wang atau untuk melayan egonya sendiri.
Malah biarpun usahanya memberi inspirasi, aktiviti memanjatnya yang mengambil masa yang lama itu jarang dipaparkan dalam televisyen.
"Dia juga merosakkan reputasi dirinya apabila memanjat untuk tujuan korporat dan promosi," ujar sumber agensi.
Pada tahun 2003, Robert memanjat Bank Negara Abu Dhabi di hadapan 100,000 penonton. Pada tahun yang sama dia memanjat bangunan Lloyd's of London buat pertama kalinya bersempena mempromosikan tayangan perdana filem Spider-Man dengan bayaran RM63,018 (AS$18,000) oleh Sky Movies.
Sebelum itu, Robert berkata di laman webnya, dia sudah berjaya memanjat lebih 70 bangunan pencakar langit di seluruh dunia, termasuk Empire State di New York dan Menara Sears di Chicago, Menara Eiffel di Paris dan Taipei 101 di Taiwan.
Robert dilahirkan dengan bakat memanjat. Dia mengasah bakatnya sejak usia 12 tahun iaitu pada binaan batuan di sekeliling rumahnya di selatan Perancis.
Sebaik saja dia mula memanjat tanpa kelengkapan keselamatan, dia menemukan kebebasan dan ketagihan yang mengujakan, terutama apabila melakukannya secara solo.
Pada tahun 1993, Robert memecahkan rekod memanjat di Verdon Gorge, Perancis.
Menerima jemputan memanjat ke Chicago setahun kemudiannya untuk sebuah rakaman, lelaki yang pernah koma, patah kedua-dua lengan, tulang pelvis, hidung, menghidap vertigo dan diberitahu tidak boleh memanjat lagi kerana terjatuh dari ketinggian 15 meter pada 1982 itu, tidak lagi menoleh ke belakang.
"Bandar Chicago membuka pintu kepada sebuah dunia baru - satu rangkaian 'gunung' yang terdiri daripada keluli dan kaca," tulisnya dalam autobiografinya, With Bare Hands pada tahun 2008.
Buat mereka yang tidak pernah memanjat bangunan, mungkin ada yang bertanya, 'Susahkah memanjat bangunan?'
"Mudah saja, dan (bangunan Lloyd's of London) tidaklah setinggi mana," ujarnya sehari selepas berjaya memanjat bangunan setinggi 92 meter itu.
Itulah kenyataan daripada lelaki yang dapat melakukan tekan tubi dengan dua jarinya sahaja!
Lelaki berketinggian 168 sentimeter dan seberat 48 kilogram itu menjelaskan, selain memakai kasut mendaki dan berbekalkan serbuk kapur, dia memanjat dengan meraba dan mencari tempat berpaut pada susur tingkap dan unjuran lain.
Namun, pendaki bebas Britain, Leo Houlding, berpendapat bangunan tinggi yang lebih rata permukaannya lebih sukar ditawan.
"Binaan pencakar langit nampak berulang tetapi itulah yang lebih membebankan tubuh. Permukaan yang rata mungkin kotor dan licin terutama di bandar-bandar tercemar," katanya yang pernah satu ketika mendapat permintaan tinggi daripada pemilik bangunan tinggi untuk memanjat bangunan mereka.
Adakah kejayaan Robert menakluk Menara Berkembar Petronas tanpa sebarang masalah, biarpun pada pagi itu cuaca di Kuala Lumpur hujan renyai, bermaksud tahap pencemaran udara di Malaysia masih terkawal?
Mengukur tahap bahaya melakukan aktiviti itu, ternyata pencapaian Robert menonjolkan kemahiran memanjat yang luar biasa.
Menjelang Disember ini, orang ramai boleh menjangkakan kelibat Robert untuk berada di puncak bangunan tertinggi di dunia, Burj Dubai, yang berdiri setinggi 818 meter atau 162 tingkat, yang bakal dibuka kepada orang awam tidak lama lagi.
"Saya sudah cuba memanjat sehingga ketinggian 700 meter November lalu. Ia agak sukar. Ia lebih tinggi daripada segala bangunan yang ada di dunia," kata Robert.
Namun, kata-katanya itu tidak menandakan perasaan takutnya. "Ketika saya memanjat, saya sangat fokus sehingga tidak ada ruang dalam fikiran saya untuk berasa takut," ujarnya.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Dr. Suradi Salim berkata, kesan daripada kegagalan sebelum ini, lelaki yang dikenali sebagai Spiderman itu bermotivasi untuk mencubanya lagi walaupun pernah jatuh tercedera sebelum ini.
"Apabila seseorang itu sering melakukan aktiviti memanjat, lama-kelamaan dia akan ketagih. Dalam kes ini, Robert telah beberapa kali cuba memanjat Menara Berkembar Petronas tersebut tetapi usahanya itu menemui kegagalan.
"Orang sebegini, selagi belum berjaya mendapat apa yang diinginkan, maka, dia tidak akan puas hati. Kini hasratnya sudah tercapai dan dia berbangga dengan kejayaan itu," ulasnya.
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Lihanna Borhan, pula tidak terkejut dengan apa yang dilakukan Robert kerana menganggap lelaki itu sudah sudah berada di tahap tidak fobia lagi pada ketinggian.
"Bagi dia (Robert) bahaya bukan perkara utama. Ia merupakan sesuatu yang memang dicarinya. Baginya juga, perhatian daripada orang lebih berbaloi dari wang ringgit.
"Jadi, fobia terjatuh sebelum ini bukanlah masalah bagi dirinya," ujarnya.
- http://datoksir.blogspot.com/
0 ulasan:
Catat Ulasan