BERPERANG DENGAN HANTU
Oh! Krai Utara
Beberapa hari lepas, seorang sahabat meminta saya menjelaskan kepada beliau mengenai kegilaan masyarakat kepada Facebook.
"Apa yang seronok sangat dengan Facebook tu?" tanya beliau.
Ternyata dia tidak faham dengan fenomena ini. Orang politik seperti beliau melihat rangkaian sosial seperti Facebook sebagai tempat meraih undi. Sama seperti pemancing yang akan memancing di tempat yang banyak ikan.
Susah juga nak jawab soalan itu. Saya menggunakan Facebook sebagai satu wadah tambahan untuk berkomunikasi dengan mereka yang berminat membicarakan isu-isu semasa. Bagi saya, Facebook menjadi satu "extension" kepada blog. Saya mencuba Twitter dan YouTube, tetapi belum menggunakannya secara agresif.
Facebook, blog atau apa saja rangkaian sosial dalam media baru adalah sesuatu yang berubah. Saya ingat lagi, suatu masa dulu anak-anak muda gila menggunakan MIRC. Hari ini minat terhadap MIRC sudah berkurangan. Malah, orang tidak lagi bercakap mengenainya. Begitu jugalah dengan "mailing list" (Yahoogroups dan lain-lain). Ada, tetapi ia bukan merupakan tren semasa.
Ada orang politik berkata mereka perlu mempunyai blog dan Facebook untuk berkomunikasi dengan rakyat dalam PRU13 nanti. Entahlah, saya tak tahu sama ada nak setuju atau tidak dengan pandangan tersebut.
Pada saya, apa yang penting bukanlah blog atau Facebook, tetapi orang politik harus menggunakan saluran yang betul untuk berkomunikasi dengan rakyat. Hari ini ramai pengundi berada di Facebook, maka tentulah elok kalau orang politik mendekati mereka melalui saluran ini.
Di Malaysia sekarang ada lebih 1 juta pengguna Facebook. Itu data setahun lepas. Saya kurang pasti jumlah pengguna semasa. Facebook memberikan ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka -- termasuklah dalam soal-soal politik -- dengan mudah. Hanya satu atau dua baris ayat sudah cukup untuk menyatakan pendirian politik mereka.
Bagaimanapun, hal yang sama tidak berlaku dengan blog. Untuk menulis blog perlukan masa. Orang tidak membaca blog yang terlalu pendek. Paling-paling kurang mestilah ada satu paragraf.
Ada orang bercerita mengenai jumlah "pagehits" blognya setiap hari. Sebenarnya pagehits tak berapa penting. "Pagehits" hanya memberitahu ada orang yang mengunjungi blognya; jadi taklah ia bersawang begitu saja.
Tak susah nak dapatkan pagehits yang tinggi. Kalau saya letakkan tajuk "Membongkar Rahsia Anwar dan Najib di Seri Perdana", saya fikir ramai yang akan mengunjungi blog ini. Nak cuba?
Apa yang lebih penting ialah purata "duration of stay" sesebuah blog. Kajian yang dilakukan menunjukkan pembaca media baru (dan apa saja di internet) membaca secara imbasan (scanning). Ada yang baca tajuk blog, terus buat komen. Kalau purata "duration of stay" pendek, ertinya orang datang ke sesebuah blog tetapi tidak membacanya isinya. Pagehitsnya mungkin tinggi, tetapi orang tak membaca apa yang ditulis.
Berdasarkan perbualan dengan beberapa orang pengamal dan pengkaji media baru, saya percaya sebahagian besar blog mempunyai purata pagehits kurang dari satu minit. Kalau boleh dapat antara dua hingga tiga minit, saya fikir itu sudah cukup baik.
Satu ciri media baru ialah ia membenarkan pengguna menyembunyikan identiti. Ya, saya faham identiti ini boleh dijejaki oleh pihak berkuasa, namun sekurang-kurangnya ia menjadi satu rahsia kepada pengguna yang lain. Atas sebab itulah agaknya, maka ada orang yang tak berasa bersalah untuk bercakap apa saja di blog atau Facebook -- sesuatu yang mungkin tidak dilakukannya dalam kehidupan harian.
Prinsip saya mudah. Pengalaman yang agak panjang di alam maya (internet kini berusia 40 tahun, saya menggunakan internet lebih 10 tahun) mengajar saya untuk berhati-hati di blog dan Facebook. Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berbincang isu-isu politik tak kisahlah dia penyokong Barisan Nasional, Pakatan Rakyat atau tidak menyokong mana-mana parti politik.
Di Facebook, saya menerima semua orang sebagai "sahabat". Apa yang saya minta hanyalah gunakan nama (ID) yang baik, walaupun saya tahu sesetengahnya tidak menggunakan nama yang betul. Berikanlah pandangan. Bagaimanapun sekiranya seseorang memilih untuk memberikan pendapat yang bersifat membangkang atau provokasi tanpa mempunyai profil yang saya fikir memadai atau tanpa gambar yang mempamerkan identiti diri, maka saya akan "delete" beliau dari senarai sahabat Facebook saya.
Saya hormat dia mempunyai pandangan tersendiri. Itu hak dia. Hak saya ialah memilih sama ada hendak mendengar atau tidak. Sekiranya pendapat itu bersifat provokasi, tak ada sebab untuk saya memberikan respon -- saya bukannya Ahli Parlimen atau ADUN yang perlu merayu undi dari rakyat. Malah, saya cuba mengelakkan diri memberikan respon kepada provokasi yang keterlaluan.
Alasan saya mudah -- Saya tak mahu berperang dengan hantu!
0 ulasan:
Catat Ulasan