Inkues kematian Teoh Beng Hock:ujian tentukan Teoh cemas sebelum mati
Oh! Krai Utara
SHAH ALAM: Seorang ahli kimia hari ini memberitahu inkues Teoh Beng Hock bahawa ujian mengesan adrenalin tidak dijalankan terhadap mendiang untuk mengetahui sama ada dia mengalami keadaan cemas atau tertekan sebelum menemui ajalnya bulan lepas.
Zairaha Awang, dari Jabatan Kimia, Petaling Jaya, dalam keterangannya pagi tadi, berkata beliau tidak menjalankan ujian itu kerana tidak diarah oleh polis.
Ketika disoal oleh peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, mengenai kemungkinan bahawa adrenalin dalam badan akan meningkat jika seseorang ditolak dalam keadaan cemas, saksi ketujuh itu berkata beliau tidak tidak pasti dan tidak pernah membuat kajian.
"Saya fikir ujian adrenalin tidak tergolong dalam ujian mengesan dadah dan racun yang dijalankan oleh bahagian toksikologi kerana adrenalin dihasilkan secara semula jadi dalam badan," kata Zairaha.
Bagaimanapun beliau bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa jika seseorang itu mengalami tekanan, jumlah enzim adrenalin dalam badannya akan meningkat.
Koroner Azmil Muntapha Abas pula bertanya sama ada terdapat perbezaan jika si mati ditolak dan sama ia boleh dikesan dalam ujian toksikologi.
Zairaha : "Saya tidak berpengalaman untuk menjawab soalan itu."
Azmil : "Adakah pengetahuan sama ada si mati ditolak atau tidak akan mempengaruhi ujian mengesan kehadiran dadah atau racun dalam badan mangsa?"
Zairaha : "Tidak."
Dalam keterangannya, Zairaha juga mengesahkan bahawa Teoh tidak mati kerana diracun, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.
Zairaha berkata demikian setelah menjalankan analisis mengesan dadah, alkohol dan racun dalam badan Teoh melalui empat sampel spesimen yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat pada 21 Julai lepas.
Katanya ujian toksikologi dilakukan bagi mengesan sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan berbahaya terhadap spesimen biologi termasuk manusia dan haiwan.
"Hasil analisis saya mendapati tiada unsur ethanol, alkohol dan dadah biasa dalam spesimen itu," katanya.
Dalam keterangannya Zairaha berkata sampel kandungan perut yang diterimanya berwarna kecoklatan yang merupakan warna biasa bagi kandungan perut manusia yang tidak mengandungi sebarang unsur dadah atau racun.
"Kandungan perut boleh berubah warna jika mengandungi unsur dadah atau racun, contohnya warna kelabu, jika terminum racun perosak," katanya.
Dalam prosiding inkues yang masuk hari ketiga itu, Zairaha juga diasak oleh Gobind beberapa soalan mengenai punca kematian Teoh, yang merupakan setiausaha politik seorang exco kerajaan negeri Selangor.
Gobind: "Selain ujian untuk periksa dadah dan racun, ada terfikirkah sebabsebab lain kematian atau melakukan pemeriksaan lain?"
Zairaha: "Tidak, hanya ikut apa yang diminta pihak polis."
Gobind: "Ada pertimbangkan sejarah kes ini?"
Zairaha: "Dari borang polis yang diterima, saya dapati kes ini ialah kes jatuh dari bangunan tinggi. Saya ada tanya pada inspektor, diberitahu kes itu melibatkan setiausaha politik. Itu sahaja."
Gobind: "Ada baca surat khabar? Adakah kamu sedar sangkaan masyarakat dia ditolak dari bangunan tinggi?"
Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu mengendalikan prosiding itu, bangun mencelah untuk membantah penggunaan perkataan 'ditolak' itu.
"Kita tidak tahu sama ada Teoh telah ditolak. Ini adalah pandangan sebelah pihak. Tujuan inkues ini diadakan adalah untuk mencari kebenaran. Saya tidak ada masalah sekiranya kamu mengajukan soalan ini kepada pegawai SPRM tetapi saksi ini adalah ahli kimia, tolong berlaku adil kepadanya.
"Jangan bersandiwara di sini, tolong bataskan soalan anda berdasarkan peraturan."
Gobind : "Tuan koroner kami di sini untuk mencari kebenaran. Adakah tuan bermaksud saya tidak boleh mencadangkan teori saya, iaitu saya tidak boleh kata ditolak, jatuh.
Bagaimana kita hendak meneruskan prosiding jika keadaan berterusan begini?"
Koroner kemudian segera menghentikan pertikaman lidah antara dua peguam itu dan mengingatkan semua pihak supaya mengajukan soalan yang relevan dan berkaitan dengan bidang tugas saksi sahaja.
Gobind kemudian mengemukakan soalan terakhir kepada Zairaha sama ada ahli kimia boleh membantu ahli patologi untuk menentukan masa kematian Teoh.
"Kalau dilihat secara fizikal keadaan mayat mungkin tidak boleh, tetapi jika spesimen diuji dan jika ada unsur dadah, kita boleh bantu memberitahu masa kematian," kata Zaihara.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu.
Prosiding disambung tengah hari. BERNAMA
6 Ogos 2009 pada 6:50 PTG
Perlantikan Gobind bagi mewakili tertuduh adalah tidak adil bagi kedua2 pihak kerana bilamana ini dilihat kebenaran bukan merupakan perkara pokok tapi kemenangan bagi teori yg berkepentigan adalah keutamaan . Sekiranya kebenaran telah diketahui ,golongan ini pasti menidakkan sebagaimana biasa sehingga lah teori mereka diperakui . Mereka bukanlah profesional tapi sekadar menggunakan profesen mereka bagi mencapai objektif perjuangan mereka