Bank Islam Malaysia Berhad Serah Zakat RM1.7 Juta

Oh! Krai Utara

Share
Y.Bhg Dato’ Zukri Samat, Pengarah Urusan, Bank Islam Malaysia Berhad, menyerahkan cek zakat Bank Islam kepada Y.B Senator Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan sempena Bulan Zakat Peringkat Wilayah Persekutuan 2009. KUALA LUMPUR, Selasa, [4 Ogos 2009] - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM1.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 2008 kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Cek zakat berkenaan telah diserahkan oleh Y.Bhg. Dato’ Zukri Samat, Pengarah Urusan, Bank Islam Malaysia Berhad kepada Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan. Pada tahun kewangan berakhir 2008, Bank Islam telah menyerahkan wang zakat berjumlah lebih RM4.8 juta. Dato’ Zukri berkata sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menunaikan satu daripada rukun Islam yang kelima, iaitu membayar zakat perniagaan, Bank Islam setiap tahun akan menunaikan tanggungjawab tersebut kepada semua negeri. “Bank Islam sebagai sebuah organisasi perniagaan juga perlu berkongsi keuntungan yang diperolehi dengan cara mengagihkan wang zakat hasil perniagaannya kepada golongan asnaf. Dengan cara ini, Bank Islam berharap akan dapat meringankan beban yang ditanggung mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan,” katanya lagi selepas Majlis Penyerahan zakat Perniagaan dan Agihan 2009 sempena bulan zakat peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. “Selain menghulurkan wang zakat untuk golongan-golongan asnaf fakir dan miskin, Bank Islam juga memperuntukkan wang zakatnya untuk tujuan-tujuan lain seperti membiayai pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan membantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti serta program dakwah dan pembangunan ummah,” katanya. Beliau berkata sebagai sebuah warga korporat yang prihatin kepada usaha-usaha menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, Bank Islam tidak hanya memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti yang menjana keuntungan material semata-mata, tetapi turut memberi keseimbangan daripada segi pengisian kerohanian, merapatkan ukhuwah dan juga aspek pembangunan sosio-ekonomi. “Sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dan amal sihat masyarakat penyayang. Bank Islam sebagai salah sebuah bank yang prihatin terutamanya dalam membela nasib-nasib mereka yang kurang bernasib baik akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...