Pergelutan MCA kian runcing

Oh! Krai Utara

Share Minggu lalu, sementara kepiluan menyelubungi masyarakat Malaysia selepas pemergian Teoh Beng Hock, Menteri dan Timbalan Menteri MCA secara tiba-tibanya, telah menyatakan sokongan kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat merangkap Menteri Pengangkutan, untuk menangani skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kemudiannya, Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek pula menyusul dengan kenyataan bahawa, “yang pentingnya, rakyat ingin tahu kebenaran”. Namun demikian, apa yang penting dalam kenyataan tersebut sebenarnya tidak kena-mengena dengan PKFZ. Sebaliknya, Chua Soi Lek menyelit maksud tersiratnya dalam ayat “rakyat tidak akan mengambil berat (terhadap kenyataan menyokong Ong)”.

“Saya yakin, selagi Presiden MCA melakukan sesuatu yang betul, semua ahli MCA akan menyokong beliau dengan sepenuhnya,” tambahnya sebagai kesimpulan dalam kenyataan tersebut. Kenyataan ringkas ini telah dihubungkait dengan “desas-desus” bahawa mereka yang tidak berpuas hati dalam MCA, bakal memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menggulingkan Ong Tee Keat.

Sejarah pergelutan MCA

Ong Tee Keat, 53, berjaya mendaki ke puncak kuasa MCA selepas tsunami politik 8 Mac, 2008. Ong ketika menerajui Pemuda MCA dalam era pimpinan Ling Liong Sik, walaupun terkenal dengan imej “berani untuk bersuara” di kalangan masyarakat Cina, namun tidak meraih sokongan dari akar umbi MCA.

Pergelutan antara Pasukan A yang diterajui Ling Liong Sik, dan Pasukan B yang diwakili Lim Ah Lek melabuh tirai pada tahun 2003, setelah PM ketika itu Mahathir Mohamad mencampur tangan, supaya kedua-dua pemimpin tertinggi itu mengundur diri bersama. Jawatan tersebut diwarisi Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy, lapisan pemimpin yang lebih muda daripada Chua Soi Lek (pasukan A) dan Chua Jui Meng (pasukan B).

Penyerahan kuasa yang diatur oleh Mahathir ini kemudiannya dibaca sebagai perangkap kepada MCA. Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy dilihat sebagai “budak” dalam kabinet ketika itu kerana seniority yang terlalu rendah, jika dibandingkan dengan pemimpin UMNO, bahkan Lim Keng Aik, Presiden Gerakan (kini sudah bersara) dan Samy Vellu, Presiden MIC.

Malah, Ong Ka Ting dikatakan bercita-cita untuk mendirikan dinasti Ong, dengan melantik abangnya, Ong Ka Chuan sebagai Setiausaha Agung MCA. Tuduhan ini dipercayai ramai setelah menyaksikan “skandal seks Chua Soi Lek” yang terbongkar pada akhir tahun 2007, disusuli pula dengan pengumuman Chan Kong Choy untuk menarik diri dari pilihan raya umum, dalam sidang akhbar MCA untuk mengumumkan senarai calonnya.

Semua ini telah memberi gambaran seolah-olah wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan musuh politik dalam parti, supaya memberi laluan kepada Ong Ka Chuan untuk mewarisi jawatan presiden MCA, selepas tempoh pimpinan adiknya sampai ke hadnya.

“Dinasti Ong” ditenggelami tsunami

Namun, manusia yang merancang, Tuhan yang takdirkan. Tsunami politik pada 8 Mac telah menghancurkan segala perancangan pemimpin MCA, seandainya wujud. Pemimpin seperti Donald Lim, Fu Ah Kiau dan sebagainya, ditenggelami ombak tsunami. Pemimpin seperti Chua Soi Lek dan Chua Jui Meng, tidak diturunkan ke gelanggang.

Ong Ka Ting berada di kedudukan seperti Abdullah Ahmad Badawi berada di dalam UMNO. Walaupun beliau menyatakan hajatnya untuk tidak menyandang jawatan menteri, sebagai bukti beliau tidak gila kuasa dan bertanggungjawab terhadap kekalahan MCA, namun tetap tidak diterima oleh sebahagian ahlinya.

Desakan demi desakan dihalakan kepada Ong Ka Ting, agar beliau berundur. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding sebagai Presiden MCA, namun abangnya Ong Ka Chuan, mencuba nasib dengan memasuki gelanggang sebagai calon Timbalan Presiden.

Pertarungan “Imej”

Sementara itu, Chua Soi Lek walaupun mempunyai sokongan yang kukuh dari akar umbi, tetap teragak-agak ketika membuat pencaturan. Selepas dilanda tsunami politik, ahli dan perwakilan MCA menyedari bahawa mereka memerlukan seorang pemimpin yang berimej baik, supaya pengundi menaruh harapan semula kepada parti tersebut.

Namun, Chua Soi Lek (gambar kanan) yang melepasi umur 60 tahun ketika itu, dicalit pula dengan skandal seks, menjangka satu pertarungan sengit seandainya bertembung dengan Ong Tee Keat. Keadaan bertambah celaru apabila Chua Jui Meng mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Presiden buat kali kedua.

Dalam perkiraan politik Chua Soi Lek, Chua Jui Meng yang masuk ke gelanggang telah menghakis kemungkinan Ong Tee Keat ditewaskan. Maka, Chua Soi Lek akhirnya mengambil keputusan untuk menguburkan nyawa politik Ong Ka Chuan, dengan bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Pergelutan berterusan

Ong Tee Keat walaupun sebelum pemilihan parti, enggan menamakan “pasukan” beliau, dengan mendakwa bahawa dirinya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapapun, tetap tidak senang apabila perwakilan mengundi Chua Soi Lek sebagai timbalannya.

Ong Tee Keat (gambar kanan) meneruskan serangannya terhadap Chua Soi Lek, dengan melabelkan Chua sebagai “politikus kitar-semula”, malah “tercalar” dengan skandal seks. Penyerangan dilakukan bertalu-talu, melalui ucapannya, malah kolumnya dalam Sin Chew Daily seketika dahulu. Chua Soi Lek yang terpilih dengan 1115 undi, tidak memperoleh sebarang tempat dalam kabinet baru, malah dipinggirkan dalam pembahagian jawatan dalam parti itu sendiri.

Tindakan Ong Tee Keat dianggap tidak menghormati keputusan perwakilan MCA, malah disindir sebagai “superman”, oleh Ketua Wanita MCA Negeri Sembilan, kerana memakai seluar dalam di luar, umpama membuka pekong di dada.

Chua dituduh meminjam “kuasa luar”

Di sebaliknya, Chua Soi Lek sebagai orang kedua dalam MCA, tidak diberikan apa-apa peranan khas, mula mengatur strateginya untuk mencari jalan keluar. Beliau telah menyebarkan khabar bahawa Pakatan Rakyat pernah menghubunginya, lantas berjaya memperolehi jawatan sebagai Ketua Penyelaras BN, dengan pejabatnya di PWTC.

Persengketaan antara Ong dengan Chua tidak berakhir di sini. Chua kemudiannya mengesahkan bahawa beliau dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin MCA, supaya menghadirkan diri pada 4 Ogos untuk memberi penjelasan berhubung video seksnya itu. Menurut laporan Malaysian Insider, Najib sangat marah atas kejadian tersebut, malah memanggil Ong Tee Keat yang mendakwa dirinya “tidak tahu apa-apa” untuk memberi penjelasan.

Sememangnya, pergelutan antara Ong dan Chua akan berterusan. Kisah bahawa Ong mendakwa dirinya diugut oleh kuasa “kongsi gelap” kerana pendedahan skandal PKFZ, dibalas pula dengan Chua yang mencadangkan supaya Ong membuat laporan polis, adalah antara babak dalam pergelutan kuasa dalaman MCA.

Titik kemuncak pertama dalam pergelutan ini berlaku ketika Chua Jui Meng (gambar kiri) membuat pengumuman untuk keluar parti. Chua Jui Meng walaupun bertanding menentang Ong Tee Keat pada pemilihan parti yang lalu, dilihat sudah berbaik dengan Ong Tee Keat. Chua Jui Meng sebelum meninggalkan MCA, telah menuduh Chua Soi Lek cuba mencelarukan keadaan dalam MCA.

Walaupun Chua Jui Meng menafikan bahawa beliau keluar parti disebabkan Chua Soi Lek, tetapi secara terus terang beliau meluahkan ketidakpuasan terhadap UMNO.

“Dalam permainan politik UMNO untuk mengimbangi antara satu sama lain, MCA dipecahkan kepada dua. Dalam keadaan sebegini, wujudnya satu puak yang pro-UMNO, dan satu lagi pasukan yang diberi mandat oleh perwakilan. Ini untuk memastikan MCA tidak menjadi untuh, lantas semakin berani (jika utuh),” ujarnya.

Sesetengah penganalisa politik membaca tindakan Chua Jui Meng itu sebagai mesej yang disampaikan oleh Ong Tee Keat kepada “kuasa luar” yang cuba mencampuri hal-ehwal MCA. Ini mungkin sebagai amaran bahawa pucuk pimpinan ini bersedia beralih haluan, sekiranya “kuasa luar” tetap mahu mencerobohi MCA.

Cuma, mungkinkah pergelutan yang bukan berpaksikan ideologi dan dasar politik ini, membuka lembaran baru dalam sejarah politik Malaysia?

-merdekareview-bm.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...