Home
>
Kelantan,
Nasional
> MATAN SIDANG AKHBAR DEKLARASI PERPADUAN NASIONAL DAN KEAMANAN SEJAGAT 13 MEI 2009
Share
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaaan dan amalan kamu).”
(Surah Al-Hujurat: Ayat 13)
Dengan perkembangan-perkembangan laporan di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih bnayak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, akhbar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah. Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semua kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.
Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh. Ini kerana ia kehilangan kujujuran. Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi unutk tujuan-tujuan persendirian.
Di atas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melaui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah. Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan. Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momemtum baru.
Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu. Dari itu, kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira. Untuk Bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama. Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT: itu permis kebahagiaan yang pertama. Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul- betul berjiwa rakyat. Oleh kerana kita telah memilih system demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintah dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak sivil, kebebasan bersuara , berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan “rule of law and natural justice” serta segala amalan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh perlembagaan. Ini bertindak sebagai asas pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat perlu diberi atau di kembalikan semula hak- hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini. Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik, dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom, dan bakar yang semakin menjadi- jadi. Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan kehidupan beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian : terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badab dan harta benda dari difitnah dan di musnah: maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh merasa selamat . ini soal hak yang sangat asas . ia menjadi hak asasi milik setiap setiap rakyat yang wajib dipelihara , sentiasa diberi dan selamanya dihormati. Mari kita jadikan tanggal 13 mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama , mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana- mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetus isu- isu perkauman yang bukan- bukan untuk mengaut mileage politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan. Kepada semua orang islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam. Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.
Terima kasih dan Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 18 Jamadil Awal 1430
13 Mei 2009.
0 ulasan:
Catat Ulasan