Angpau untuk Warga emas kaum Cina DUN Guchil
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Warga emas kaum Cina yang bakal menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi bersama-sama diraikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dalam satu majllis agihan angpau dekat sini, semalam.
Tuan Zamri Ariff berkata, majlis tersebut yang diadakan setiap tahun khusus untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada warga emas dalam suasana masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, walaupun dalam pelbagai kemelut yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab yang mengapi-apikan isu perkauman, semua itu tidak boleh diambil kira dan semua anggota masyarakat perlu bersatu padu.
“Walaupun sebelum ini negara digemparkan dengan pelbagai isu perkauman dan sebagainya, kita di Kelantan yang sentiasa aman dan hidup bersatu padu.
“Kita perlu hargai apa yang kita ada di negeri ini dan tidak perlu menghiraukan pergolakan dan perselisihan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab untuk meruntuhkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kehidupan pelbagai kaum yang sentiasa aman di Kelantan ini termasuk kaum Cina, India, dan minoriti Siam tidak perlu tergugat dengan pelbagai isu berkaitan sebaliknya harus saling percaya dan bersatu.
Katanya, keamanan yang ada di Kelantan ini perlu dipertahankan dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai aktiviti bersama termasuk meraikan hari kebesaran masing-masing.
“Walaupun saya seorang wakil rakyat berbangsa Melayu tetapi saya juga adalah wakil rakyat kaum Cina dan India di Kuala Krai ini kerana mereka semua pelbagai kaum yang memilih saya.
“Justeru apabila terdapat keraian kaum lain juga kita perlu sama-sama raikannya sebagai tanda persahabatan di antara semua kaum,” katanya.
Hadir sama pada majlis agihan angpau tersebut ialah isteri Tuan Zamri Ariff iaitu Tengku Zainab Tuan Lah, Penghulu Tanpa Mukim Kaum Cina, Teo Kok Eng dan Pengerusi Persatuan Buddha Yik Sing Kong, Kong Kok Hwa. sumber
0 ulasan:
Catat Ulasan