SPR Kelantan,1.4 juta layak mengundi
Oh! Krai Utara
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kelantan mensasarkan seramai 1.4 juta rakyat di negeri ini yang layak mengundi, selain menggesa 240,000 rakyat yang melewati usia 21 tahun supaya mendaftar sebagai pengundi. Pengarah SPR Kelantan, Ab Rahim Md Salleh berkata, sekarang ini, terdapat 761,000 orang yang mendaftar pemilih dan lebih banyak langkah akan dijalankan bagi menggalakkan rakyat di Kelantan mengundi. “Pada tahun ini, saya mengharapkan warganegara Malaysia yang ada di Kelantan seboleh-bolehnya mendaftar nama mereka dengan SPR bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab apabila sampai hari mengundi nanti. “Usaha mendaftar pemilih ini hanya memerlukan kad pengenalan dan mengambil proses tiga minit sahaja untuk berdaftar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya. Beliau berkata, rakyat di negeri ini dinasihatkan berbuat demikian supaya bakal pemilih mendaftar dengan segera untuk mengelak daripada gagal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti. Menurutnya, proses pendaftaran juga membenarkan mana-mana orang yang mendaftar dengan penolong pendaftaran yang dilantik SPR mestilah mengambil semula salinan Borang A (pendaftaran pemilih) dan menyimpannya sehingga nama dipamerkan mengikut tempoh tiga bulan sekali di pejabat tanah dan jajahan serta pejabat pos di kawasan masing-masing. Ab Rahim berkata, kebiasaannya penolong pendaftar akan membuat semakan bagi pemilih yang didaftar olehnya. Pada tahun ini, kata beliau, walaupun peruntukan menurun berbanding tahun lalu, namun usaha mendaftar pemilih akan dipergiatkan dengan menjalankan program ‘outreach’ untuk tujuan pendaftaran dengan mengadakan program ‘smart partnership’. Di bawah program berkenaan, katanya, SPR turut mengadakan aktiviti di luar pejabat termasuk menyediakan kaunter pendaftaran bergerak dan membuka kaunter di Pasaraya Tesco di Kelantan bagi memudahkan rakyat mendaftar semasa membeli-belah. |
0 ulasan:
Catat Ulasan